SOLARI menghargai apa yang dilakukan oleh Perak FC. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SOLARI menghargai apa yang dilakukan oleh Perak FC. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Biarpun Johor Darul Ta'zim (JDT) membelasah Perak FC 8-1 dan layak ke pentas final Piala Malaysia dengan agregat 12-2, pengendali JDT, Esteban Solari menganggap barisan pemain muda skuad kendalian Yusri Che Lah begitu berani apabila beraksi secara terbuka.

Solari menambah aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi sememangnya dikuasai sepenuhnya JDT tapi keberanian pemain skuad The Bos Gaurus yang tidak mengamalkan corak bertahan dan tidak membuang masa dalam perlawanan itu boleh membantu perkembangan bola sepak negara.

"Kita tahu hampir keseluruhan Perak FC dibarisi pemain bawah 23 tahun dan mereka tidak kekok untuk bermain bola sepak secara terbuka malah apa yang mereka lakukan adalah mencuba untuk beraksi dengan baik dan tahu apa yang mereka lakukan.

"Malah saya menghargai apa yang dilakukan oleh Perak FC dalam perlawanan separuh akhir ditambah pula mereka beraksi di laman JDT yang mereka tahu sememangnya sukar untuk melakar kemenangan tapi saya tetap mahu ucap tahniah kepada mereka.

"Berbalik kepada persembahan JDT, kami bermain dengan konsisten sepanjang 90 minit permainan namun tidak pernah merasakan ia aksi yang mudah malah di awal permainan tampak seimbang tapi agak kecewa kerana pasukan lawan berjaya menjaringkan gol pada minit akhir," katanya.

Ditanya mengenai corak permainan Heberty yang beraksi di posisi tengah dan menjadi perancang gerakan, pengendali kelahiran Argentina itu menganggap kualiti yang ada buat pemain import dari Brazil itu membantu pasukan meraih kemenangan besar menewaskan skuad The Bos Gaurus.

"Walaupun sudah berusia 35 tahun tapi Heberty begitu komited dengan pasukan malah sukar untuk dapat pemain yang berkualiti dan komited. Dia adalah contoh terbaik dan menetap standard yang tinggi untuk pemain malah saya juga berpuas hati dengan semua pemain yang beraksi melebihi 100 peratus.

Mengena lawan JDT di pentas final Piala Malaysia nanti, Solari enggan memilih sama ada Terengganu FC atau Kuala Lumpur City FC (KL City FC) bakal menjadi lawan skuad Harimau Selatan, sebaliknya beliau mahu menumpukan persiapan aksi menentang Ulsan Hyundai dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa ini.

"Buat ketika ini saya enggan memilih pasukan mana yang akan bertemu JDT, mana-mana pasukan yang layak ke final kami tetap anggap ia perlawanan sukar kerana hanya sekali perlawanan sahaja, oleh itu biar kami tumpukan pada aksi ACL dan baki saingan Liga Super," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 10:53 AM