FERNANDES akan menyarung jersi nombor 37 bersama JDT. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
FERNANDES akan menyarung jersi nombor 37 bersama JDT. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Juara Liga Super sembilan musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengikat penyerang import kelahiran Brazil, Heberty Fernandes dari kelab Thailand, Bangkok United FC bagi mengisi kuota Asean pada jendela perpindahan kedua.

Kemasukan pemain baharu itu diumumkan menerusi hantaran terbaharu di Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Dalam video berdurasi 38 saat itu, kelihatan Fernandes memasuki kawasan stadium menaiki limosin dan disambut Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards.

Fernandes, 34, menyertai JDT bagi mengisi kouta Asean selepas memiliki kerakyatan Timor Leste.

Fernandes memulakan karier seniornya bersama kelab di Jepun sebelum berpindah ke Liga Thailand pada 2014 dengan menyertai beberapa kelab berbeza.

Pemain terbabit pernah berhijrah ke Liga Arab Saudi dan bersama kelab terakhirnya iaitu Bangkok United, Fernandes menjaringkan 35 gol dalam 70 penampilan dari 2020 sehingga musim ini.

Fernandes bakal menyarung jersi bernombor 37 dan membentuk gandingan berbisa bersama rakan senegaranya, Bergson Da Silva dan Diogo Luis Santo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 6:15 PM