FERNANDO Forestieri sah tinggalkan JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
FERNANDO Forestieri sah tinggalkan JDT. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Mesin gol Johor Darul Ta'zim (JDT) dari Argentina, Fernando Forestieri akhirnya mengucapkan selamat tinggal selepas dua musim bersama juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu.

Pemergian penyerang itu diumumkan JDT di laman Facebook Johor Southern Tigers (JST), hari ini.

"JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada Fernando Forestieri atas sumbangannya kepada Harimau Selatan sejak menyertai kelab pada permulaan musim 2022.

"Penyerang ini adalah sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah memenangi 'double quadruple' pada 2022 dan 2023.

"Beliau telah menjaringkan 47 gol dan 21 bantuan jaringan menerusi 69 penampilan dengan JDT. Selamat maju jaya, Forestieri!," kata kenyataan kelab itu.

Forestieri dianggap antara awang import terbaik Liga Malaysia.

Dia cukup berbisa di depan gawang dan gandingannya bersama seorang lagi penyerang JDT, Bergson da Silva sering mencetuskan 'huru hara' dalam kotak penalti lawan.

Sebelum ini, JDT mengumumkan penjimatan dengan mengugurkan sebahagian besar pemain termasuk barisan kejurulatihan diketuai Esteban Solari.

Antara pemain lain yang meninggalkan pasukan adalah Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo.

Malah beberapa pemain turut dipinjam keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 3:25 PM