SZOBOSZLAI (tengah) beraksi bersama Hungary dalam kempen kelayakan Kumpulan G Euro 2024. -FOTO
SZOBOSZLAI (tengah) beraksi bersama Hungary dalam kempen kelayakan Kumpulan G Euro 2024. -FOTO
Agensi

London: Liverpool semakin hampir menandatangani Dominik Szoboszlai dari RB Leipzig ketika Jurgen Klopp berusaha untuk mengukuhkan kembali pasukannya di Anfield.

Pemain berusia 22 tahun itu turut diinginkan Newcastle selepas aksi cemerlang dalam Bundesliga apabila menghasilkan enam gol dan lapan bantuan.

Bagaimanapun, Liverpool kini mendahului untuk menandatangani kapten Hungary itu selepas pertemuan dengan ejennya awal minggu ini dengan klausa pelepasannya sekitar £60 juta (RM354.43 juta) dan syarat peribadi yang sudah dipersetujui.

Szoboszlai, pemain tengah yang turut mengetuai kelab Jerman itu memenangi perlawanan akhir DFB Pokal untuk musim kedua berturut-turut, difahamkan berminat untuk berpindah selepas menyertai RB Leipzig dari Red Bull Salzburg pada Disember 2020.

Liverpool mempunyai hubungan yang kukuh dengan Leipzig dan membenarkan penyerang Fabio Carvalho menyertai mereka secara pinjaman sepanjang musim.

Pemain berusia 20 tahun itu berpindah ke Anfield dari Fulham pada musim panas lalu dengan bayaran awal £5 juta (RM29.53 juta) dan kontrak lima tahun.

"Dia kini akan meneruskan perkembangannya dan memperoleh lebih banyak pengalaman di Jerman bersama Leipzig," kata kenyataan Liverpool.

Sementara itu, Liverpool akan memohon lesen berdiri yang selamat kerana mereka akan mengembangkan tempat duduk rel sebanyak 3,000 hingga 13,300 lagi di Anfield.

Inisiatif itu sudah diuji selama beberapa tahun, tetapi mereka kini hampir menjadi kelab Liga Perdana ketujuh selepas Wolves, Tottenham, Manchester City, Manchester United, Brentford dan Chelsea yang memiliki lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 9:13 AM