CAICEDO berminat menyertai Chelsea berbanding Liverpool. FOTO Agensi
CAICEDO berminat menyertai Chelsea berbanding Liverpool. FOTO Agensi
Reuters

London: Chelsea bersetuju dengan perjanjian untuk menandatangani pemain tengah Ecuador, Moises Caicedo dari Brighton & Hove Albion, menurut laporan media yang menyatakan bayaran perpindahan itu akan menjadi rekod baharu British.

Sky Sports melaporkan bahawa Chelsea akan membayar £115 juta (RM670.1 juta), mengatasi rekod sebelum ini ketika mereka membeli Enzo Fernandez daripada Benfica pada harga £106.8 juta (RM622.3 juta) pada Januari lalu.

Caicedo dilaporkan akan menandatangani kontrak selama lapan tahun, dengan The Blues membayar tambahan £15 juta (RM87.4 juta).

Chelsea terpaksa meningkatkan bidaan beberapa kali untuk mendapatkan Caicedo, yang akhirnya mencapai persetujuan selepas Liverpool juga mencapai persetujuan dengan Brighton dengan bidaan dilaporkan bernilai £111 juta (RM646.7 juta).

Caicedo yang berusia 21 tahun, masih mempunyai kontrak empat tahun di Brighton tetapi sudah memberitahu kelab itu bahawa dia ingin berhijrah ke Stamford Bridge dan bukannya Anfield.

Dia menandatangani kontrak dengan Brighton pada Februari 2021 dengan bayaran yang dilaporkan sebanyak £4.5 juta (RM26.2 juta) dan dipinjamkan ke kelab Belgium, Beerschot pada Ogos tahun sama.

Dia dipanggil semula oleh Brighton pada Januari 2022 selepas 14 penampilan di Belgium.

Di bawah jurulatih, Roberto De Zerbi, Caicedo mempamerkan peningkatan prestasi di bahagian tengah pada musim lalu.

Chelsea juga sedang berusaha untuk mengukuhkan barisan serangan mereka di bawah bimbingan Mauricio Pochettino selepas berdepan masalah kecederaan serta penghijrahan pemainnya termasuk Kai Havertz yang menandatangani kontrak dengan Arsenal dan Christian Pulisic sertai kelab Serie A, AC Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 8:41 AM