PEMAIN negara ketika sesi latihan sebelum menentang Taiwan. FOTO FAM
PEMAIN negara ketika sesi latihan sebelum menentang Taiwan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kemenangan dalam dua perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 memberi keuntungan besar buat skuad Harimau Malaya daripada segi pungutan mata ranking Persekutuan Bolasepak Malaysia (Fifa).

Hal ini kerana, Malaysia dilihat antara paling banyak mengutip mata ranking Fifa untuk bulan ini apabila berjaya membenam Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0.

Kejayaan penuh gemilang skuad kendalian Kim Pan-gon itu menyaksikan Malaysia memperolehi tambahan sebanyak 15.49 mata ranking Fifa dan ia juga kemenangan pertama Harimau Malaya ke atas pasukan 100 terbaik dunia dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Skuad Harimau Malaya memperoleh tambahan mata sebanyak 10.65 selepas menumpaskan Taiwan sekali gus menyaksikan pasukan kebangsaan secara keseluruhan mengutip 26.15 mata.

Ini jumlah mata paling banyak dikutip oleh Malaysia berbanding keputusan perlawanan negara lain di Asia menurut laman sesawang Football-ranking.com.

Pasukan lain mengutip mata terbanyak ialah negara dari benua lain adalah Comoros (30.9 mata) dan Romania (26.2 mata).

Secara keseluruhan, Malaysia sudah mengumpulkan mata sebanyak 1122.87 dan kini naik 8 anak tangga berada di ranking 129 dunia.

Kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 130 dunia adalah pada 2001 iaitu di tangga ke-128 dunia.

Berdasarkan kepada situasi semasa skuad Harimau Malaya sudah pastinya tidak mustahil untuk merealisasikan Impian berada di kelompok 120 terbaik dunia dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin meletakkan sasaran untuk berada di kelompok 120 dunia berdasarkan kepada perancangan terbaik dan kejayaan memihak kepada Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 11:24 AM