NASRULLAH Hanif (kanan) tuntut rakan sepasukan gandakan usaha bagi memburu kemenangan ke atas Penang FC. -FOTO Ihsan FB NSFC.
NASRULLAH Hanif (kanan) tuntut rakan sepasukan gandakan usaha bagi memburu kemenangan ke atas Penang FC. -FOTO Ihsan FB NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kekecewaan dialami kepada Sri Pahang FC sudah dilupakan dan kini skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) berhasrat untuk bangkit mencipta kemenangan pada pertembungan dengan Penang FC, dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Isnin ini.

Ini ditegaskan, penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan yang mahukan rakan sepasukan kembali memberi fokus kepada perlawanan ke-15 musim ini untuk memastikan tiga mata tidak lagi tercicir dari genggaman skuad Hobin Jang Hobin.

"Kekalahan kepada Sri Pahang sudah dilupakan dan kami jadikan segala kesilapan yang terjadi itu sebagai pengajaran agar ia tidak berulang pada perlawanan akan datang.

"Kami sedar perlu sentiasa bersikap positif kerana saingan liga masih panjang dan semua pemain perlu terus bekerja keras bagi mempertahankan maruah pasukan.

"Oleh itu, kami perlu menggunakan peluang sebaik mungkin perlawanan dengan Penang ini nanti untuk mendapatkan kemenangan bagi mengembalikan semula moral dan reputasi pasukan," katanya di sini, hari ini.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu akui tidak rela tiga mata dari laman sendiri terlepas begitu sahaja kepada pasukan lawan, ketika usaha dilakukan untuk menempatkan pasukan dalam kedudukan yang lebih baik dalam carta liga.

Malah katanya, kehilangan sebarang mata pada pertembungan itu nanti sudah tentu akan memberi kesan kepada kedudukan pasukan dalam liga, selain memungkinkan akan memberi peluang kepada Penang untuk memintas Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 1:39 PM