NASRULLAH Hanif Johan, tonggak utama pertahanan Negeri Sembilan FC. -FOTO Ihsan FB NSFC.
NASRULLAH Hanif Johan, tonggak utama pertahanan Negeri Sembilan FC. -FOTO Ihsan FB NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kegagalan meraih kemenangan ke atas Melaka United, Sabtu lalu, hingga mengundang kecewa penyokong, mendorong skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bertindak memperkemaskan semula kekuatan pasukan itu menjelang aksi bertemu Sri Pahang FC, hujung minggu ini.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan berkata, pihaknya menyedari skuad Hobin Jang Hobin perlu bangkit mendapatkan kemenangan dalam setiap baki perlawanan, bagi memastikan kedudukan dalam kelompok teratas carta Liga Super tidak tergugat.

Katanya, selepas melalui sembilan perlawanan, Negeri Sembilan merekodkan empat keputusan seri di mana situasi itu mungkin akan memberi kesan dalam misi pasukan untuk untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas carta liga.

"Bukan sahaja penyokong merasa resah, malah kami sebagai pemain juga bimbang dengan keputusan perlawanan tempoh hari kerana pasukan perlukan kemenangan untuk memastikan kedudukan dalam carta liga lebih kukuh.

"Kami juga tidak mahu dilabelkan sebagai pakar seri kerana ia bukan matlamat yang dimahukan, namun saya yakin dan percaya jentera serangan pasukan akan lebih berbisa pada perlawanan akan datang.

"Ada kemungkinan gandingan pemain import baharu, Yashir Pinto Islame (pemain tengah) dan Gustavo Almeida (penyerang) memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian dalam pasukan," katanya.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu berkata, kegagalan meraih mata kemenangan ke atas Melaka itu sudah dilupakan dan akan dijadikan panduan oleh semua pemain untuk memberikan aksi lebih baik pada pertembungan dengan Sri Pahang, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

Menurut Nasrullah, semua pemain pasukan itu sudah menanam azam untuk memberikan persembahan terbaik dan mahu memastikan tiga mata dapat diraih pada perlawanan ke-10 musim ini itu nanti.

Ketika ini, Negeri Sembilan berada di tangga ketiga carta Liga Super dengan meraih 16 mata hasil empat kemenangan, empat seri dan satu tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 2:27 PM