Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ternyata berang dengan persembahan anak buahnya yang disifatkan aksi terburuk dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas tumpas kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu menjelaskan anak buahnya gagal mengawal perlawanan sekali gus dihukum skuad Penyu yang mudah menembusi benteng pertahanan bermula pada bahagian tengah lagi.

"Kita tewas kepada pasukan yang lebih bagus, puncanya kerana kita tidak berjaya mengawal permainan dan apabila pihak lawan dapat menembusi bahagian tengah dan pertahanan menyebabkan kita gagal beraksi sebagaimana rentak sebelum ini.

"Saya percaya ini perlawanan terburuk dipamerkan pemain sepanjang liga musim ini di mana kita dibolosi pada awal permainan sekali gus menukar rentak permainan kita.

"Apabila gol kedua pihak lawan terhasil, ini menyukarkan lagi kita untuk mengekalkan perancangan permainan seperti biasa apabila kita sukar untuk menembusi barisan pertahanan lawan dan pada masa sama TFC mengawal permainan dengan baik terutamanya di bahagian tengah.

"Kita tidak diturunkan Baddrol Bakhtiar lebih awal adalah strategi, tapi semuanya tidak menjadi dan TFC berhak untuk mendapatkan kemenangan di hadapan penyokong setia mereka," katanya ketika ditemui selepas berakhir pertemuan itu.

KIM Swee (kiri) pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
KIM Swee (kiri) pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI

Dalam perlawanan itu, skuad The Rhinos terpaksa akur tewas 0-2 di tangan skuad Penyu hasil jaringan pemain pertahanan import, Pape Diakite pada minit keenam dan satu lagi disumbang pemain pinjaman dari Selangor, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-30.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga kecewa apabila pemain pertahanannya, Rizal Ghazali tidak dapat diturunkan pada aksi seterusnya selepas dilayangkan kad merah dalam pertemuan itu.

"Kehilangan Rizal Ghazali untuk perlawanan seterusnya adalah tamparan buat pasukan, jadi harap pemain itu mengambil pengajaran apa yang berlaku dengan kembali fokus untuk tiga aksi terakhir liga.

"Bagaimanapun kekalahan malam ini (malam tadi) tidak merencatkan perancangan untuk kekal di kelompok tiga teratas liga bagi mengintai peluang beraksi di pentas Piala AFC musim depan walaupun jurang mata yang rapat, kita perlu fokus untuk tiga perlawanan lagi dengan noktah kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:43 PM