AKSI antara Sri Pahang dan Selangor sebentar tadi. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
AKSI antara Sri Pahang dan Selangor sebentar tadi. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC menafikan cabaran Selangor FC selepas mencatat kemenangan 2-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Dua gol pada separuh masa pertama sudah cukup buat skuad Tok Gajah untuk mengutip tiga mata.

Namun, pada perlawanan itu, Selangor jelas menguasai perlawanan sepanjang 30 minit hingga memberikan tekanan kepada Sri Pahang.

Peluang terbaik Selangor hadir menerusi percubaan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau tetapi bola sepakan pemain tengah itu terkena palang pada minit ke-17.

Tuan rumah yang berusaha untuk memberi tentangan kepada lawan gagal untuk melepasi benteng Selangor.

Namun, Sri Pahang yang melakukan serangan balas berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain import, Steven Rodriguez pada minit ke-34.

Lima minit berselang, Abdul Malik Mat Ariff meletakkan Sri Pahang mendahului Selangor 2-0 sekali gus menewaskan penjaga gol, Samuel Somerville buat kali kedua.

Ketinggalan 2-0, Selangor berusaha untuk mendapatkan gol tetapi terpaksa akur keputusan itu kekal bagi tempoh 45 minit perlawanan.

Bersambung babak kedua, Selangor menggandakan asakan ke kubu Sri Pahang dalam usaha mengurangkan defisit gol tetapi berjaya disekat tuan rumah.

Sri Pahang turut berusaha untuk menambah jaringan dan memiliki beberapa peluang yang dinafikan jentera pertahanan lawan.

Akhirnya, Selangor akur tewas di tangan Sri Pahang yang jelas tampil dengan prestasi lebih baik selepas tewas 2-5 kepada Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 10:23 PM