KEHADIRAN Min-jae bakal memberi lebih pilihan untuk bek tengah Man United. FOTO AFP
KEHADIRAN Min-jae bakal memberi lebih pilihan untuk bek tengah Man United. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United dilaporkan bersedia membayar klausa pembelian 51 juta pound (RM292.03 juta) untuk mendapatkan pemain pertahanan Napoli, Kim Min-jae.

Pengendali United, Erik ten Hag dilihat mahu memperkukuhkan bahagian pertahanan dengan pemain kebangsaan Korea Selatan itu dilihat sebagai sasaran utamanya tatkala Newcastle turut dilaporkan berminat mendapatkan pemain berusia 26 tahun berkenaan.

Menurut laporan media Calciomercato, Napoli mahu mendapatkan pemain Atalanta, Giorgio Scalvini untuk menggantikannya.

Min-jae menjadi sebahagian anggota skuad Napoli ketika menjuarai Serie A musim ini, yang juga kejuaraan kali pertama sejak 1990.

United boleh meletakkan Raphael Varane, Lisandro Martinez, Victor Lindelof dan Harry Maguire di bek tengah, namun Min-jae akan memberi mereka pilihan berbeza.

Min-jae mempamerkan prestasi cemerlang pada musim pertamanya di Napoli selepas meninggalkan Fenerbahce, tahun lalu.

Old Trafford kelihatan 'sibuk' pada musim panas ini dengan United dilaporkan sedang dalam persiapan untuk mendapatkan pemain tengah Chelsea, Mason Mount dengan nilai 50 juta pound (RM286.30 juta).

United sebelum ini berminat mendapatkan Harry Kane, namun berdepan halangan besar terutama daripada Real Madrid yang turut berminat mendapatkan penyerang Tottenham berkenaan.

Pada musim pertama ten Hag mengendali pasukan, United menjuarai Piala Carabao, namun mereka ditewaskan seteru utama, Manchester City di final Piala FA, Sabtu lalu.

Anak buah ten Hag menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketiga dan tersingkir daripada Liga Europa di pentas suku akhir oleh juara, Sevilla.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 10:08 AM