MAN United hanya memerlukan satu mata lagi untuk layak ke Liga Juara-Juara. FOTO AFP
MAN United hanya memerlukan satu mata lagi untuk layak ke Liga Juara-Juara. FOTO AFP
AFP

Manchester: Erik ten Hag berkata Manchester United mesti berusaha lebih lagi walaupun pasukannya dilihat sudah menghampiri layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

United hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea dan Fulham untuk memastikan kedudukan empat teratas selepas semusim keluar dari saingan kelab elit Eropah.

Ten Hag juga menamatkan penantian kelab selama enam tahun untuk memenangi trofi pada musim pertamanya dengan menjulang Piala Liga pada Februari lalu.

Pengendali dari Belanda itu berpeluang menamatkan kempen sulungnya di England dengan dua trofi apabila United akan menentang seteru setempat, Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA.

Tetapi Ten Hag menegaskan sasaran Red Devils mesti lebih tinggi pada musim depan kerana mereka berusaha untuk menghidupkan semula kejayaan dahulu.

"Kami berada dalam projek, kami mahu kembali dan memenangi trofi," kata Ten Hag pada sidang media menjelang kunjungan Chelsea ke Old Trafford, awal pagi Jumaat ini.

"Kami sudah memenangi satu trofi tetapi kami mahu menang lebih banyak trofi, (untuk) bersaing dengan yang terbaik.

"Kami masih dalam perjalanan, kami berada di landasan yang betul tetapi ia sentiasa boleh menjadi lebih baik kerana ketika ini kami tidak cukup baik."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 10:08 PM