PSG hampir gelaran ke-11 Liga Perancis. -FOTO AFP
PSG hampir gelaran ke-11 Liga Perancis. -FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain menghampiri rekod gelaran Liga Perancis ke-11 dengan kemenangan 5-0 ke atas Ajaccio yang turut menyaksikan kepulangan Lionel Messi dari penggantungan.

Fabian Ruiz membuka jaringan pada minit ke-22 di Parc des Princes dan Achraf Hakimi menambah gol kedua sebelum Kylian Mbappe menjaringkan dua gol sejurus selepas separuh masa.

Mohamed Youssouf menambah malam memeritkan buat Corsica apabila menyumbat gol sendiri untuk gol kelima PSG, manakala Hakimi dan pemain tengah Ajaccio, Thomas Mangani dilayangkan kad merah lewat perlawanan.

PSG memerlukan empat mata daripada tiga perlawanan terakhir mereka – menentang Auxerre, Strasbourg dan Clermont – untuk memastikan kejuaraan Ligue 1 selepas melebarkan kelebihan enam mata ke atas Lens di tempat kedua.

"Pemain sangat berazam mempamerkan persembahan terbaik. Mereka mahu menjadi juara dan mereka sedar bahawa Lens tidak berputus asa dan tersilap langkah boleh meningkatkan tekanan," kata jurulatih PSG Christophe Galtier.

Pengumuman nama Messi sebelum sepak mula mengundang tepukan serta cemuhan daripada penyokong, susulan penggantungannya kerana membuat lawatan ke Arab Saudi tanpa kebenaran kelab.

Pemain Argentina itu sekali lagi dicemuh selepas mendapat bola pada perlawanan yang mungkin menjadi penampilan kedua terakhirnya di Paris.

Pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu dilaporkan akan menyertai Cristiano Ronaldo di Liga Pro Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 11:01 AM