REAL raih kemenangan tipis atasi Getafe. -FOTO AFP
REAL raih kemenangan tipis atasi Getafe. -FOTO AFP
AFP

Barcelona: Real Madrid memanaskan badan menjelang perlawanan penentuan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester City dengan kemenangan 1-0 ke atas Getafe dalam saingan La Liga.

Kemenangan tipis memastikan pendahulu Barcelona perlu menewaskan Espanyol di Cornella untuk merangkul kejuaraan hujung minggu ini.

Marco Asensio memecah kebuntuan pada minit ke-70 dengan rembatan melencong dari jarak jauh dalam perlawanan yang disaji dengan beberapa peluang.

Kemenangan Madrid menyaksikan mereka naik ke tempat kedua mengatasi Atletico Madrid, 11 mata di belakang Barcelona.

Carlo Ancelotti membuat perubahan terhadap barisan pemain utama bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik menjelang perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang City kendalian Pep Guardiola, berikutan keputusan seri 1-1 Selasa lalu di Madrid.

Ancelotti hanya menurunkan tiga pemain daripada pasukan yang memulakan perlawanan pertama – penjaga gol Thibaut Courtois, Eduardo Camavinga dan Fede Valverde.

Camavinga bagaimanapun mengalami kecederaan lutut apabila bertembung dengan Juan Iglesias.

Bagaimanapun Ancelotti berkata, pemain tengah Perancis itu tidak memerlukan masa yang lama untuk pulih.

"Lututnya rasa sakit sedikit tapi dia akan pulih dengan cepat," kata Ancelotti.

"Esok dia akan berehat seperti pemain lain yang bermain hari ini dan saya fikir mulai Isnin dia akan berlatih bersama pasukan, dia tidak mempunyai masalah."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 10:49 AM