AKSI Benzema menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Espanyol di  Stadium RCDE, Barcelona. FOTO EPA
AKSI Benzema menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Espanyol di Stadium RCDE, Barcelona. FOTO EPA
Reuters

Barcelona: Karim Benzema menjaringkan dua gol pada lewat permainan bagi membantu Real Madrid menewaskan Espanyol 3-1 awal pagi tadi, kemenangan ketiga mereka dalam tiga perlawanan pertama musim baharu LaLiga.

Real Madrid menduduki tangga teratas liga dengan sembilan mata terikat dengan Real Betis. Barcelona dan Villarreal di tangga ketiga dan keempat dengan tujuh mata manakala Osasuna dan Real Sociedad masing-masing enam mata.

Vinicius Jr membuka tirai jaringan pada awal babak pertama dengan rembatan jarak dekat selepas mendapat hantaran cantik Aurelien Tchouameni.

Tchouameni yang menggantikan Casemiro selepas pemain Brazil itu berpindah ke Manchester United tampil dengan aksi mantap dan menunjukkan mengapa Real sanggup mengeluarkan 100 juta euro (RM443 juta) untuk mendapatkan pemain tengah Perancis itu.

Real mendominasi perlawanan sehinggalah Joselu menyamakan kedudukan sebelum rehat dan skuad tuan rumah bangkit dengan lebih garang pada babak kedua apabila mengasak bertali arus ke kubu juara LaLiga dan Liga Juara-Juara itu.

Ketika Espanyol semakin agresif, jurulatih Real Carlo Ancelotti memasukkan pemain muda Rodrygo dan Eduardo Camavinga yang sekaligus meningkat tempo serangan.

Dua minit sebelum tamat, hantaran jauh Rodrygo ke dalam kotak penalti ditolak masuk oleh Benzema membolehkan Real Madrid kembali di depan dan penyerang veteran Perancis itu menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada masa tambahan.

"Kami bermula dengan baik, kami mendahului lawan tetapi kemudiannya gagal kekalkan momentum. Selepas mereka mendapatkan gol ia lebih sukar.

"Namun kemasukan Rodrygo dan Camavinga memberikan tenaga tambahan yang amat kami perlukan," kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 7:46 AM