PEMAIN Negeri Sembilan, Levy Clement Madinda diasak pemain PIB Shah Alam, Amirul Ikmal Hafiz pada perlawanan Piala FA di antara Negeri Sembilan FC menentang PIB Shah Alam FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Azrul Edham
PEMAIN Negeri Sembilan, Levy Clement Madinda diasak pemain PIB Shah Alam, Amirul Ikmal Hafiz pada perlawanan Piala FA di antara Negeri Sembilan FC menentang PIB Shah Alam FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban:Status pasukan Liga Super jelas dapat diperagakan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila berjaya menewaskan PIB FC, 2-0, dalam aksi Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu membawa skuad Hobin Jang Hobin melangkah ke saingan suku akhir dan bakal bertemu Selangor FC.

Begitupun kemaraan Negeri Sembilan ke peringkat lapan pasukan terbaik itu tidak dilalui dengan mudah apabila pasukan bimbingan K Devan menerima tentangan hebat daripada PIB, yang dibimbing, Yusrizal Yusoff.

Malah, sepanjang separuh masa pertama Negeri Sembilan dilihat seolah-seolah hilang rentak apabila usaha mereka untuk mendapatkan jaringan gol tidak tercapai, meskipun barisan serangan berjaya mencipta banyak peluang.

Gandingan Casagrande dengan Mahali Jasuli yang dipertaruhkan di barisan depan jelas belum cukup ampuh untuk mencabar bahagian pertahanan PIB terutama penjaga gol pasukan itu, Izzat Abd Rahim, yang dilihat bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain tuan rumah.

Tidak kurang empat percubaan tepat ke arah gol lawan antaranya pada minit ke-26, 27, 30 dan 42 yang diperolehi kedua-dua pemain terbabit di kawasan gol lawan gagal disempurnakan dengan baik sehingga menamatkan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan berusaha memperkemaskan jentera pasukan apabila membuat pertukaran dengan memasukkan Che Rashid Che Halim bagi menggantikan Aroon Kumar.

Che Rashid yang mengambil sepakan bola mati dari jarak kira-kira 25 meter ke kawasan gol lawan berjaya ditanduk kemas Casagrande untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-51.

PIB yang berusaha memberikan saingan dalam misi mencipta kejutan mendapat peluang menyamakan kedudukan namun sepakan pemain gantian Khairul Anwar Khazali pada minit ke-77 berjaya ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Negeri Sembilan kemudian berjaya mendapatkan gol kedua menerusi jaringan pemain gantian, Muhamad Shahrel Fikri Md Fauzi selepas dia menanduk bola masuk ke dalam gawang PIB, hasil sepakan sudut diambil Mohd Zamri Ramli pada minit ke-80.

Usaha PIB menafikan reputasi Negeri Sembilan tidak kesampaian apabila keputusan 2-0 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 2:39 AM