MORATA digantung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning. FOTO AFP
MORATA digantung perlawanan selepas mengutip dua kad kuning. FOTO AFP
AFP

Brighton, United Kingdom: Tanpa kelibat Alvaro Morata dan Pedro, Antonio Conte perlu memikirkan jawapan mengenai masalah ketumpulan jentera serangan Chelsea apabila mereka bertemu Brighton, hari ini.

Jaringan Michy Batshuayi pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA menentang Norwich City adalah gol pertama Blues selepas tiga keputusan seri tanpa jaringan.

Pengurus Chelsea, Conte bagaimanapun tegas mengatakan bahawa masih ada perkara positif yang boleh mereka jadikan alasan menjelang pertembungan yang akan menentukan sama ada mereka mampu atau tidak menduduki empat tangga teratas liga sekali gus layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Juara bertahan Liga Perdana itu tercicir ke tangga keempat liga selepas perlawanan minggu lalu dan mungkin tergelincir ke tangga kelima jika tewas di tangan Brighton sambil Tottenham Hotspur menundukkan Southampton.

Kehilangan Morata dan Pedro - kedua-duanya dilayangkan kad kuning ketika menentang Norwich sebelum diarah keluar padang gara-gara kad kuning kedua - pasti menjejaskan lagi rancangan Conte untuk mengukuhkan barisan depan pasukannya.

Morata bergelut untuk mengharungi musim pertamanya di Stamford Bridge dan sudah tidak menjaringkan gol sepanjang enam perlawanan manakala Pedro sudah meledak empat kali setakat ini.

“Prestasi kami ketika menentang Norwich agak baik. Walaupun kami membuat banyak perubahan, kami berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta banyak peluang. Kami hanya terlepas gol kepada lawan di hujung permainan,” katanya.

“Kini kami akan mengharungi perlawanan kedua dalam tempoh dua hari iaitu menentang Brighton. Kami akan cuba sebaik mungkin.

“Saya harap keputusan saya tidak salah kerana apa yang saya lakukan pada Piala FA ialah merehatkan ramai pemain utama tetapi pada masa sama, saya mahu pastikan kami mampu melangkah ke pusingan seterusnya.

“Sudah tentu kami berdepan beberapa masalah dan juga Pedro serta Morata tidak boleh bermain tetapi kami akan cuba mendapatkan tiga mata.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 4:27 AM