PEMAIN Sri Pahang FC, Muhammad Baqiuddin diasak pemain Kelantan FC, Muhammad Ghaffar Abdul Rahman.
PEMAIN Sri Pahang FC, Muhammad Baqiuddin diasak pemain Kelantan FC, Muhammad Ghaffar Abdul Rahman.
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Kelantan FC, Choi Moon Sik mahu memastikan skuadnya bangkit selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super.

Justeru, jurulatih dari Korea Selatan itu menggesa anak buahnya dapat membentuk persefahaman dan meningkatkan prestasi untuk mencatat kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Selepas dua perlawanan ini, saya harap ada peningkatan prestasi yang dipersembahkan pemain untuk beraksi lebih bagus."

"Tumpuan utama lebih kepada corak permainan lebih pantas dan mencatat kemenangan pertama," kata bekas pemain Korea Selatan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik 1992 dan Piala Dunia 1994 itu.

Mengulas kekalahan 1-4 di tangan Sri Pahang FC di Stadium darul Makmur semalam, Moon Sik berkata, skuad itu berusaha bangkit pada babak kedua tetapi gagal melakukannya.

Namun, katanya, prestasi pasukan itu pada babak kedua lebih baik termasuk berjaya menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan.

"Kami harap segera bangkit untuk mencatat kemenangan pada perlawanan selepas ini," katanya.

Pada perlawanan itu, gol tunggal Kelantan pula dijaringkan pemain gantian, Miguel Garrido pada minit akhir perlawanan.

Empat gol Sri Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Kpah Sherman pada minit ke-11, Kevin Ingreso (m-38), Sergio Aguero (m-43) dan Stefano Brundo (m-45).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 2:51 PM