Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jurulatih Bawah 19 Tahun (B-19) negara Hassan Sazali Waras menyifatkan masih terlalu awal untuk menghakimi prestasi anak buahnya dengan kekalahan 0-5 kepada Thailand di separuh akhir Piala AFF semalam.

Menurutnya kejohanan peringkat Asia Tenggara berkenaan adalah persiapan fasa terakhir skuad kendaliannya untuk aksi kelayakan Piala AFC di China bulan depan.

“Tidak perlu panik (kekalahan di separuh akhir) kerana ini persediaan fasa akhir kami. Berdasarkan kejohanan ini, kami akan dapat mengenalpasti kelemahan dan membaikinya. Banyak perkara boleh dipelajari,” kata Hassan.

Bagaimanapun pencapaian ke separuh akhir menurutnya sudah menepati sasaran ditetapkan.

Pada perlawanan separuh akhir di Stadium Nasional Laos semalam, anak buah Hassan Sazali dibolosi tiga gol penghujung babak pertama.

Bermula dengan jaringan Ritthidet Phensawat pada minit ke-36, pintu gol negara dibolosi lagi dengan ledakan Worachit Kanitsribampen (m-43) dan Sansern Limwatthana (m-45).

Thailand yang menguasai perlawanan menambah dua gol dalam baki 45 minit apabila Ritthidet meledak jaringan keduanya seminit selepas aksi bersambung sebelum Suksan Mungpao melengkapkan kemenangan besar 5-0 pada minit ke-71.

“Pemain sudah memberikan yang terbaik namun mereka bertemu dengan lawan lebih baik. Pemain hilang tumpuan sehingga melepaskan tiga gol selepas mengikut arahan dengan baik pada peringkat awal.

“Pada perlawanan ini, selain kehilangan tiga pemain utama kerana kecederaan, saya terpaksa melakukan pertukaran posisi,” katanya.

Malaysia akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 10:19 AM