TEN Hag (kiri) enggan memberi komen lebih lanjut berhubung isu Greenwood. FOTO AFP
TEN Hag (kiri) enggan memberi komen lebih lanjut berhubung isu Greenwood. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag enggan mengulas mengenai Mason Greenwood, 24 jam selepas pertuduhan jenayah terhadap penyerang berusia 21 tahun itu digugurkan.

Greenwood menghadapi pertuduhan termasuk cubaan merogol dan menyerang, tetapi pendakwa raya berkata kes itu tidak diteruskan berikutan penarikan diri saksi utama.

United sudah melancarkan siasatan dalaman mereka sendiri dan Greenwood kekal digantung daripada latihan dan beraksi untuk kelab itu.

Pada sidang media hari ini, Ten Hag berkata: "Saya tak boleh menambah apa-apa. Saya merujuk kepada kenyataan kelab.

"Pada masa ini, saya tidak boleh memberi komen mengenai proses itu. Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenainya."

Ten Hag berkata perkembangan terbaru itu tidak mengganggu persiapan United untuk perlawanan menentang Crystal Palace, esok selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 di Selhurst Park, bulan lalu.

"Kami sentiasa memberi tumpuan kepada perlawanan, tidak kira apa pun, ia adalah tugas kami.

Sebab itu kami berada di sini. Dua minggu lalu prestasi pasukan agak teruk. Saya tidak berpuas hati dengan prestasi pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 9:52 PM