GAYA Vinicius meraikan gol ketiga Real Madrid.
GAYA Vinicius meraikan gol ketiga Real Madrid.
Reuters

Madrid: Karim Benzema dan Vinicius Jr. menjaringkan gol pada masa tambahan ketika Real Madrid bangkit menewaskan pencabar setempat Atletico 3-1 awal pagi tadi dan mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol.

Penyerang Alvaro Morata, bekas pemain akademi Real meletakkan Atletico di depan menerusi tolakan jarak dekat minit ke-19 namun disamakan Rodrygo minit ke-79 selepas melepasi kawalan tiga pertahanan.

Atletico beraksi dengan 10 pemain pada masa tambahan selepas pertahanan Stefan Savic dilayang kad kuning kedua apabila mengasari Eduardo Camavinga minit ke-99.

Lima minit kemudian, hantaran pemain gantian Real, Marco Asensio dalam kotak penalti disambut dengan rembatan kencang Benzema yang menerjah jaring.

Vinicius memastikan kemenangan Real pada lewat perlawanan menerusi kelincahan individu apabila larian kencangnya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan rendah.

"Hari ini kami mengharungi aksi yang sukar tetapi dengan karakter dan pemain yang kami ada, kami mampu menukar keputusan," kata Benzema kepada Teledeporte.

"Derita tidak bagus, kami sepatutnya menjaringkan gol lebih awal."

Dalam perlawanan awal, Athletic Bilbao menang 3-1 di Valencia untuk mengiringi pemenang 31 kali, Barcelona dan Osasuna di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 7:25 AM