:LUCAS Paqueta (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
:LUCAS Paqueta (kanan) meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
AFP

Madrid: Brazil memperoleh gol lewat permainan untuk seri 3-3 dengan Sepanyol pada aksi persahabatan awal pagi tadi yang menyaksikan pemain muda, Lamine Yamal dan Endrick menyinar.

Lucas Paqueta menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk menafikan kemenangan La Roja di Santiago Bernabeu, selepas tuan rumah mendahului ketika lewat permainan.

Kapten Sepanyol, Rodri menyempurnakan dua sepakan penalti di ibu kota Sepanyol.

Pemain tengah Manchester City itu membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-12 selepas Yamal dijatuhkan di dalam kotak penalti dan Dani Olmo melebarkan kedudukan untuk Sepanyol dengan jaringan individu menarik minit ke-36.

Kesilapan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon membolehkan Rodrygo merapatkan jurang sebelum rehat dan pemain sensasi, Endrick yang masuk sebagai pemain gantian, menyamakan kedudukan untuk Brazil lima minit memasuki babak kedua.

Rodri menyempurnakan sepakan penalti kedua pada lewat permainan selepas Dani Carvajal dikasari oleh Lucas Beraldo namun Paqueta memusnahkan impian Sepanyol untuk melakar kemenangan.

Perlawanan itu diatur untuk membantu memerangi isu perkauman selepas pelbagai insiden penghinaan ditujukan kepada pemain sayap Real Madrid dan Brazil, Vinicius Junior di Sepanyol.

Vinicius menjadi kapten Brazil buat kali pertama tetapi kurang menyerlah ketika rakan senegaranya yang masih remaja dan bakal menjadi rakan sepasukannya di Los Blancos, Endrick, terus mendapat tumpuan bersama-sama pemain muda Barcelona, ​​Yamal.

"Ia memalukan apabila kemenangan terlepas daripada kami pada saat terakhir, ia adalah penalti yang sepatutnya boleh kami elakkan," kata Rodri kepada Teledeporte.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 8:39 AM