ZAQUAN kapten NSFC.
ZAQUAN kapten NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Teka teki siapa pemain import bakal membarisi skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, masih belum terjawab.

Biarpun pelbagai spekulasi dibuat sebahagian penyokong dan peminat setia skuad Hobin Jang Hobin, namun setakat ini pihak pengurusan tertinggi kelab berkenaan belum menama atau mengumumkan mana-mana pemain import, yang bakal menyertai pasukan terbabit.

Beberapa nama dikaitkan dengan skuad yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan Liga Super musim lalu, apabila berjaya menamatkan saingan di tangga keempat liga, namun belum disahkan.

Bagi kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak, dia berharap pemain import bakal menyarung jersi pasukan itu musim ini diharap mampu memenuhi kualiti diharapkan.

Menurutnya, tugas pemain import adalah penting dalam membantu memperkasakan lagi kekuatan pasukan.

"Saya berharap pemain import yang akan menyertai pasukan adalah mereka yang benar-benar berkualiti dan mempunyai rekod baik. Pemain import harus lebih bagus daripada pemain tempatan sama ada dalam aspek kemahiran teknikal, kecergasan dan pengalaman.

"Keupayaan mereka perlu lebih baik daripada pemain tempatan, jika tidak adalah lebih guna pemain tempatan," kata bekas penyerang kebangsaan itu di sini, hari ini.

Menurut Zaquan Adha, pemain import juga perlu dapat menyesesuaikan diri dengan falsafah pasukan untuk memastikan perjalanan pasukan menghadapi saingan Liga M berjalan dengan baik dan lancar.

"Jika pemain import tidak serasi, ia bukan sahaja boleh mengganggu keharmonian pasukan malah lebih penting boleh menjejaskan rentak menuju kemenangan dan kejayaan," kata pemain berpengalaman yang turut membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim 2021.

Kelmarin, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan memaklumkan pasukan itu dijangka bakal menggunakan khidmat lima pemain import berbanding sembilan pemain itu yang dibenarkan musim ini.

Beliau yang juga pengurus pasukan belum menyatakan nama pemain import yang menjadi pilihan pasukan terbabit sebaliknya menegaskan pihaknya sedang dalam proses membawa masuk pemain import yang sudah dikenal pasti termasuk seorang pemain musim lalu yang akan dikekalkan.

Di antara nama pemain terbabit termasuk bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kelahiran Jordan, Mahmoud Al-Mardi dan bekas pemain Sri Pahang FC, Matias Conti selain pemain musim lalu, Herold Goulon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 6:52 PM