SEAN Eugene (kiri) pernah beraksi bersama Selangor. FOTO NSTP
SEAN Eugene (kiri) pernah beraksi bersama Selangor. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas lebih tiga minggu menjalani latihan bersama skuad Negeri Sembilan FC (NSFC), penyerang baharu, Sean Eugene Selvaraj tampak yakin dengan peningkatan prestasinya, walaupun belum mencapai tahap maksimum.

Malah, pemain berusia 25 tahun itu ternyata tidak sabar untuk berlatih bersama penyerang import Negeri Sembilan bagi persiapan menjelang cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Setakat ini, latihan tampak berjalan lancar dan semua pemain fokus kepada usaha meningkatkan tahap prestasi masing-masing, tambahan pula masa begitu pantas bergerak dan perlu dimanfaatkan dengan baik dalam mempersiapkan diri dan pasukan.

"Ketika ini, saya dalam proses membina kombinasi mantap bersama Mohamad Zaquan Adha (Abdul Radzak) dan pemain lain dalam pasukan.

"Namun berharap dapat berlatih dengan penyerang import secepat mungkin. Setakat ini hanya pemain pertahanan, Herold Goulon yang sudah bersama menjalani latihan," katanya di sini, semalam.

Bekas penyerang Selangor FC itu akui banyak kemajuan dicapai dan dia rasa amat selesa dengan suasana dalam pasukan sekali gus memberi motivasi tinggi untuk sama-sama berusaha memantapkan skuad Hobin Jang Hobin.

Menurut Sean, banyak perkara baharu dapat dipelajari daripada ketua jurulatih, K Devan, sekali gus membantu meningkatkan lagi skil permainannya serta menambah keyakinan pada dirinya.

Pemain berasal dari Port Dickson itu berkata, dia perlu cepat mengikuti dan memahami percaturan ketua jurulatih terbabit kerana cabaran Liga Super musim ini dijangka lebih berliku, berdasarkan persiapan setiap pasukan.

"Saya dapat rasakan kombinasi antara kami (Zaquan Adha) amat positif, namun dengan kehadiran penyerang import yang dijangka tiba dalam masa terdekat, ia harus memberikan impak yang lebih baik kepada kekuatan pasukan apabila cabaran sebenar bermula nanti.

"Apa pun, kami sedar tugas kali ini lebih mencabar, tapi dengan kehadiran pemain berpengalaman dan bereputasi tinggi, Negeri Sembilan boleh memberikan saingan bukan sahaja dalam Liga Super, malah Piala FA dan juga Piala Malaysia," katanya.

Selaku pemain di barisan hadapan, Sean sedar dia menjadi harapan pihak pengurusan kelab dan peminat.

"Saya akan bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik jika diberi peluang dan misi saya untuk membantu pasukan negeri saya meraih kejayaan musim ini," kata pemain yang pernah beraksi di temasya Sukan Sea 2017 (KL2017).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:28 PM