NAFUZI kecewa Sang Kenari gagal memanfaatkan peluang hingga menyebabkan skuadnya tewas dalam penentuan penalti di Stadium Darul Aman semalam. FOTO IZZALI ISMAIL
NAFUZI kecewa Sang Kenari gagal memanfaatkan peluang hingga menyebabkan skuadnya tewas dalam penentuan penalti di Stadium Darul Aman semalam. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain menganggap nasib tidak menyebelahi skuad Sang Kenari apabila tewas pada aksi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-4 selepas terikat 2-2 dengan Penang FC pada saingan Piala FA semalam.

Dua gol Kedah dijaringkan oleh kapten pasukan Manuel Ott, manakala gol Penang FC dihasilkan oleh Giovane Gomez dan Hassan Saad dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Menurutnya, walaupun Sang Kenari memiliki lebih banyak peluang dalam aksi serangan berbanding lawan, beliau melihat kesilapan sendiri telah menyebabkan skuadnya dihukum dengan kekalahan di hadapan kira-kira 12,000 penyokong yang hadir di laman sendiri.

"Kesilapan diri sendiri inilah yang menyebabkan kita dibolosi dua gol dan dalam bola sepak ini adalah normal bila kita menguasai perlawanan, tidak semestinya menang, kerana dengan kesilapan itulah yang boleh menyebabkan kita tewas.

"Kita tahu dalam bola sepak walaupun kita sudah mencuba dengan aksi terbaik dan berikan apa yang kita ada, tetapi mungkin rezeki tidak menyebelahi kami pada perlawanan dan saingan ini.

"Saya juga perlu sekali lagi mohon maaf kepada penyokong diatas kekalahan pada saingan pertama Piala FA ini yang mana kita telah terkeluar dari saingan," katanya.

Nafuzi bagaimanapun tetap berasa sedikit 'lega' apabila Sang Kenari mempamerkan aksi yang lebih meningkat pada perlawanan ini berbanding tiga perlawanan yang dilalui sejak Liga Malaysia bermula.

"Pada masa yang sama saya tetap gembira dengan prestasi yang dipamerkan pemain pada perlawanan malam ini kerana bagi saya, melalui empat perlawanan yang dilalui KDA FC setakat ini, perlawanan ini yang betul betul saya inginkan dan mahu saya lihat.

"Kita sudah melakukan dengan mencuba yang terbaik pada perlawanan ini dan saya tahu penyokong juga lihat corak permainan yang kami tunjukkan dari awal hingga minit ke-120 minit bagaimana kami menguasai perlawanan ini.

"Bagi saya perlawanan ini tidak perlu berlarutan hingga ke tempoh masa tambahan kerana ada ketikanya dalam perlawanan yang kita boleh 'bunuh' perlawanan untuk menang, tetapi dengan adanya peluang, kami pula tidak dapat memanfaatkannya," katanya.

Nafuzi bagaimanapun tidak meletakkan kekalahan ini kepada mana-mana pemain termasuk penyerangnya yang gagal menghasilkan gol pada perlawanan ini.

"Itu sudah biasa bagi mana-mana penyerang apabila dapat menjaringkan gol maka ianya dianggap bagus, dan begitu juga sebaliknya jika tidak dapat menjaringkan gol.

"Dalam bola sepak itu normal tapi mungkin malam ini dia (Willian Lira) tidak bertuah untuk menjaringkan gol , tetapi bagi saya, pada perlawanan-perlawanan selepas ini pastinya dia dapat jaringkan gol selagi dia berusaha.

"Kami akan fokus seterusnya pada saingan Liga Super dan Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 11:37 AM