PAHANG antara pasukan yang memerlukan sentuhan pemain import yang lebih berkualiti. FOTO Arkib NSTP
PAHANG antara pasukan yang memerlukan sentuhan pemain import yang lebih berkualiti. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Prestasi kurang menyerlah selain mahukan 'aura' baharu dalam kesebelasan utama menyebabkan sekurang-kurangnya 10 pasukan Liga Malaysia (Liga M) dijangka menukar pemain import dengan peruntukan sederhana selepas jendela perpindahan kedua pemain dibuka kelmarin.

Sudah pastinya daripada jumlah berkenaan, enam membabitkan pasukan Liga Super termasuk penghuni tangga tercorot UiTM FC, Sri Pahang FC, Perak FC dan Melaka United FC.

Pembelian pemain import baharu itu penting memandangkan rata-rata pasukan berkenaan masih lagi bergelut untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing di Liga Super selain mahu memberi cabaran sengit pada baki perlawanan akan datang.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan berkata, pembelian pemain pada jendela perpindahan kedua itu boleh dikatakan tiada penampilan istimewa membabitkan individu ternama berikutan pasukan terbabit lebih memilih untuk berbelanja secara berhemah.

Beliau berkata, sudah ada wakil daripada enam pasukan Liga Super berkenaan bertanya berkaitan pemain import terutama membabitkan jentera serangan dan pertahanan.

"Boleh saya katakan kemungkinan besar berdasarkan kepada situasi semasa sudah tentu pasukan yang berada di tangga tercorot liga mahu menukar pemain import mereka untuk meningkatkan lagi prestasi mereka.

"Cuma, kita tidak akan tengok pasukan berkenaan berbelanja besar dengan purata gaji dalam lingkungan RM20,000 hingga RM30,000 saja.

"Pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat mungkin akan mengekalkan pemain import sedia ada kerana mereka beraksi cemerlang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, transaksi perpindahan kali ini tidaklah mencatatkan jumlah yang banyak apabila pasukan ketika ini 'ukur baju pada badan sendiri' dalam berbelanja.

"Sarawak United dan Negeri Sembilan juga antara pasukan yang dikhabarkan akan menukar pemain import masing-masing dalam usaha memastikan mereka dapat merebut slot ke Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:30 AM