HAMIDIN diumumkan penerima Anugerah Ikon Kepimpinan. -FOTO NSTP
HAMIDIN diumumkan penerima Anugerah Ikon Kepimpinan. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sedia mencurahkan ilmu ikon kepimpinan kepada golongan belia yang berhasrat untuk menyumbang bakti dalam pengurusan sukan tempatan.

Hamidin, 57, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Kepimpinan dalam Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, malam tadi.

Beliau yang dilantik sebagai Presiden FAM sejak 2018 lalu, tidak menyangka mampu memenangi anugerah itu yang julung kali diadakan buat mengiktiraf penggiat sukan tanahair itu.

Katanya, pengiktirafan ini adalah hadiah paling bermakna dalam hidupnya selepas mencurah khidmat, idea dan keringat selama lebih 30 tahun lalu terutama dalam sukan bola sepak.

"Saya rasakan ikon ini perlukan pengorbanan, jadi saya mengajak mana-mana anak muda yang berminat untuk menjadi pemimpin dalam persatuan sukan boleh datang secara percuma ke FAM untuk saya mengajar dan berkongsi pengalaman saya," katanya yang memulakan penglibatan dalam dunia pengurusan bola sepak sebagai pengurus pasukan Perwira Habib Bank pada pertengahan 1980-an.

Daya kepimpinannya terus menyerlah apabila beliau dilantik sebagai orang kuat dalam Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), sebelum kemudiannya dilantik Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Setiausaha Agung FAS selepas itu.

Sepanjang berkhidmat bersama FAS dari 1995-2013 itu, bakat kepimpinan beliau cukup terserlah dan pada masa sama menyaksikan pasukan Selangor berjaya memenangi sebanyak 18 kejuaraan termasuk lima kali juara Piala Malaysia, empat kali juara Piala FA dan dua kali juara Liga Super.

Pada 2013 menyaksikan Hamidin diangkat sebagai Setiausaha Agung FAM oleh Presiden FAM ketika itu, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bagi menggantikan Datuk Seri Azzuddin Ahmad, sebelum memegang jawatan selaku Presiden FAM pada 2018.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Harian Metro di atas penganjuran dan kemenangan ini. Terima kasih juga kepada peminat yang mengundi saya.

"Kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat saya untuk bekerja lebih keras dalam memacu bola sepak negara ke tahap terbaik," katanya.

Hamidin berjaya menewaskan empat lagi calon lain iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli, Chief de Mission Sukan Sea 2021 Datuk Nur Azmi Ahmad, Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 2:48 PM