SEAN Eugene difahamkan antara pemain yang akan kekal. -FOTO Ihsan NSFC.
SEAN Eugene difahamkan antara pemain yang akan kekal. -FOTO Ihsan NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC), Sean Eugene Selvaraj berharap dapat terus kekal dalam pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain berusia 25 itu mahu terus memberikan sumbangan terbaik kepada skuad Hobin Jang Hobin bagi melonjakkan lagi nama pasukan berkenaan di persada bola sepak tempatan.

"Semangat untuk terus bersama Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan musim depan kekal tinggi kerana yakin dapat memberikan sumbangan lebih baik dalam usaha melonjakkan lagi nama pasukan di persada bola sepak tempatan.

"Kejayaan menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super musim ini menjadi pencetus dan pembakar semangat bagi saya untuk terus memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan.

"Saya berharap dapat terus kekal dalam pasukan ini untuk musim depan," katanya di sini, hari ini.

Sean melakar sejarah tersendiri pada musim pertama bersama Negeri Sembilan selepas melakukan jaringan cantik ketika menentang Selangor FC pada 31 Julai lalu, apabila jaringan berkenaan dibawa sehingga ke peringkat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut pemain berasal dari Port Dickson itu, Negeri Sembilan perlu mengekalkan reputasi selaku pencabar utama dalam Liga Super musim depan seperti mana dipamerkan sepanjang kempen musim ini.

Bekas pemain Selangor itu berkata, pencapaian menduduki tangga keempat carta liga musim ini perlu ditingkatkan dengan kedudukan lebih baik musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 1:20 PM