SEAN harap kekal bersama NSFC. -FOTO Ihsan NSFC
SEAN harap kekal bersama NSFC. -FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berjaya mencipta sensasi menerusi jaringan cantik pada Ogos lalu, Sean Eugene Selvaraj berhasrat untuk terus kekal bersama pasukan berkenaan pada musim depan.

Pemain berusia 25 tahun itu bertekad untuk memberi aksi terbaik kepada skuad Hobin Jang Hobin demi menjulang nama pasukan di pentas Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

"Saya amat berharap dapat terus kekal bersama Negeri Sembilan bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

"Penyertaan musim pertama tahun ini belum begitu memuaskan walaupun dapat membantu Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat dan melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

"Saya ingin terus membantu Negeri Sembilan melakar kejayaan lebih gemilang musim depan sama ada di pentas Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia," katanya di sini, hari ini.

Pada awal Ogos lalu, Sean mencipta sensasi selepas berjaya melepaskan satu rembatan yang sangat menarik kira-kira 30 meter dari luar kotak penalti untuk menghadiahkan kemenangan 3-2 ke atas Selangor FC.

Malah, jaringan yang dilakukan pada minit-minit terakhir perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu turut dicalonkan bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Sean mengakui kontraknya semusim bersama pasukan bimbingan K Devan itu berakhir pada akhir November lalu dan ketika ini pengurusan pasukan sedang dalam proses membentuk pasukan baharu bagi menghadapi saingan musim depan.

"Perbincangan antara kedua-dua pihak sudah diadakan namun keputusan belum dibuat.

"Saya jangkakan perkembangannya dapat diketahui sedikit masa lagi. Saya berharap ia keputusan positif," katanya yang menjaringkan tiga gol bersama Negeri Sembilan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:45 PM