SALT Bae dilihat sempat bergambar dengan Messi serta memegang trofi Piala Dunia. FOTO Agensi
SALT Bae dilihat sempat bergambar dengan Messi serta memegang trofi Piala Dunia. FOTO Agensi
AFP

London: Fifa sedang menyiasat bagaimana chef selebriti, Salt Bae mendapat 'akses tidak wajar' masuk ke padang selepas aksi final Piala Dunia apabila menyaksikannya bergambar dengan pemain Argentina yang terkejut termasuk Lionel Messi.

Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce, dilihat memegang dan mencium trofi Piala Dunia selepas Argentina menewaskan Perancis pada perlawanan akhir, Ahad lalu di Qatar.

Usahawan Turki itu dikritik secara meluas kerana dua kali cuba menggenggam lengan Messi, yang dilihat kurang senang dengan tindakannya itu.

Dia juga bergambar dengan Angel di Maria, Lisandro Martinez serta barisan pemain lain.

Peraturan Fifa menyatakan trofi Piala Dunia hanya boleh dipegang oleh pemenang kejohanan dan individu seperti pegawai Fifa serta ketua negara di bawah naungan badan induk itu.

"Selepas melakukan semakan, Fifa mengambil ketetapan bagaimana seorang individu mendapat akses masuk ke padang selepas majlis penutup di Stadium Lusail pada 18 Disember lalu.

"Tindakan yang sewajarnya akan diambil," kata seorang jurucakap kepada BBC.

Salt Bae, 39, memiliki rangkaian restoran mewah di seluruh dunia termasuk Beverly Hills di Los Angeles dan di London.

Terdahulu dia menyiarkan video dirinya menyaksikan perlawanan dengan duduk sebaris bersama Presiden Fifa, Gianni Infantino.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 8:09 AM