BUI Tuan Lam tular dalam video yang mana dia didakwa mempersenda pegawai tinggi kerajaan. FOTO Agensi
BUI Tuan Lam tular dalam video yang mana dia didakwa mempersenda pegawai tinggi kerajaan. FOTO Agensi
Reuters

Hanoi: Seorang penjual mi di Vietnam yang didakwa mempersendakan dengan meniru resipi dimakan pegawai tinggi kerajaan, dijatuhi hukuman penjara lima tahun setengah.

Polis berkata, mahkamah mendapati lelaki itu bersalah atas dakwaan propaganda antinegara.

Sabitan itu adalah yang terbaharu dengan kumpulan hak asasi menyifatkan ia sebagai percubaan kerajaan menutup suara mengkritik Parti Komunis Vietnam yang memerintah.

Pada November 2021, seorang pegawai tinggi Vietnam dirakamkan pada kamera sedang makan stik keemasan di restoran London milik chef selebriti Turki, Nusret Gokce, dikenali sebagai Salt Bae.

Beberapa hari kemudian, penjual mi daging lembu, Bui Tuan Lam, 39, tular dalam video di mana dia meniru tukang masak itu untuk menyediakan minya dengan rancak.

Lam, yang menggambarkan dirinya dalam catatan Facebook yang dimuat naik bersama video itu sebagai Green Onion Bae, ditangkap pada akhir 2022.

Jabatan Polis Danang berkata, pada Khamis lalu, lelaki itu disabitkan kesalahan membuat, menyimpan, mengedar atau menyebarkan maklumat dokumen dan barangan yang menentang negara.

Katanya, Lam bukan hanya mengusahakan gerai mi lembu di bandar itu, malah dia secara terbuka menyokong demokrasi di Vietnam dan mengambil bahagian dalam banyak protes anti-China dan proalam sekitar.

"Lam juga menyiarkan 19 artikel dan 25 video di media sosial untuk 'mencemarkan' negara," katanya.

Peguam Lam tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.

Timbalan Pengarah Asia Human Rights, WatchPhil Robertson menyeru kerajaan Vietnam supaya berhenti mendakwa Lam dan individu lain kerana mengkritik Parti Komunis Vietnam.

"Senarai catatan dan video yang disenaraikan sebagai bukti jenayah Bui Tuan Lam menunjukkan keterlaluan yang dilakukan Vietnam untuk menyekat sebarang jenis kritikan dalam talian terhadap kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 11:38 AM