SCALONI ketika sesi latihan skuad Argentina. FOTO AP
SCALONI ketika sesi latihan skuad Argentina. FOTO AP
AFP

Doha: Lionel Scaloni hanya tinggal satu kemenangan lagi untuk sebaris menyertai jurulatih terhebat Argentina sepanjang zaman bersama bekas juara Piala Dunia, Cesar Luis Menotti dan Carlos Bilardo.

Diberi peluang menduduki kerusi panas itu secara sementara pada 2018 selepas berakhirnya era Jorge Sampaoli, Scaloni, 44, kini membawa Albiceleste ke ambang mahkota Piala Dunia ketiga.

Pelantikan Scaloni mendapat kritikan meluas, malah ada yang menyatakan beliau tidak layak membimbing pasukan kebangsaan.

Mendiang Diego Maradona, yang juga bekas pengurus Argentina, memberikan komen sangat mengecewakan pada masa itu apabila memberitahu akhbar Clarin: "Dia bahkan tidak mampu mengawal lalu lintas."

Scaloni tidak mempunyai pengalaman sebelum ini sebagai ketua jurulatih, malah beliau sepatutnya mengendalikan Portugal secara sementara selama dua bulan dalam usaha persatuan mencari pengganti Sampaoli.

Jurulatih Argentina itu mengambil keputusan berani apabila 19 daripada 26 pemainnya yang beraksi di Qatar beraksi pada Piala Dunia pertama mereka.

"Dia memberi peluang kepada pemain seperti (Nahuel) Molina, Cristian Romero, Lisandro Martinez dan (Alexis) Mac Allister, yang membolehkan pasukan mempunyai identiti tersendiri selain memberi Leo (Messi) pilihan lebih banyak yang tidak dirasainya pada Piala Dunia sebelum ini," kata Jorge Burruchaga, penjaring gol kemenangan pada final 1986 kepada AFP.

Argentina akan beraksi dalam perlawanan final keenam di Piala Dunia menentang Perancis, tetapi Scaloni pantas enggan membandingkan dirinya dengan jurulatih terbaik negara itu pada masa lalu, termasuk Menotti, Bilardo dan Alejandro Sabella, yang membawa Argentina ke final 2014.

"Saya tak boleh membandingkan diri saya dengan jurulatih lain.

"Ia membanggakan saya membawa pasukan ke final. Tetapi saya tidak boleh meletakkan diri saya pada tahap yang sama dengan mereka. Saya cuma rasa bertuah untuk berada di final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 7:55 AM