SCALONI (kanan) dan Van Gaal catur strategi terbaik untuk pasukan masing-masing.
SCALONI (kanan) dan Van Gaal catur strategi terbaik untuk pasukan masing-masing.
AFP

Doha: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni adalah pengendali termuda di Piala Dunia tetapi dia yang berusia 44 tahun tekad membuktikan kekurangan pengalaman bukan halangan ketika menentang Belanda kendalian Louis van Gaal pada suku akhir, awal pagi Sabtu ini.

Tanpa sebarang pengalaman sebagai ketua jurulatih di peringkat senior, Scaloni hanya dilantik pengendali sementara menggantikan Jorge Sampaoli tetapi akhirnya diberikan kontrak kekal sehingga 2026.

Dia bukan sahaja perlu menepis kritikan mereka yang meragui kelayakannya tetapi juga perlu mendapat keyakinan pemain dan dia membuktikannya dengan membantu Argentina menamatkan kemarau 28 tahun gelaran Copa America 2021 selepas menewaskan tuan rumah Brazil 1-0.

Dia mencipta kejayaan yang gagal diraih Daniel Passarella, Marcelo Bielsa, Alejandro Sabella dan Gerardo selepas dua tahun mengendalikan skuad Argentina.

"Pada mulanya kami salah faham," kata pemain tengah, Rodrigo De Paul selepas kemenangan itu. "Kini Scaloni meyakinkan kami dalam apa sahaja."

Menunggu Scaloni dan Argentina selepas ini ialah Belanda kendalian Van Gaal, jurulatih yang menjadi idolanya ketika dia masih menjadi pemain.

"Saya beraksi di Deportivo La Coruna ketika dia menjadi jurulatih Barcelona dan dikenali ramai. Saya bangga dapat menentangnya, semua orang tahu apa yang dilakukannya untuk bola sepak," kata Scaloni merujuk kepada Van Gaal yang berusia 71 tahun, jurulatih paling tua di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 9:19 AM