SHAAKHMEDOV tiada dalam radar skuad Penyu itu musim depan. FOTO Ihsan TFC
SHAAKHMEDOV tiada dalam radar skuad Penyu itu musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali baharu Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menjelaskan bekas pemain tengah skuad Penyu itu, Sanjar Shaakhmedov tiada dalam radar skuad kendaliannya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Turut tidak berada dalam senarai pemain import Gergasi Pantai Timur itu adalah dua pemain kelahiran Serbia, Luka Milunovic dan bekas pemain pertahanan skuad itu, Igor Zonjic.

"Mengenai desas-desus Shaakhmedov kembali bersama pasukan TFC musim depan ianya adalah tidak benar kerana saya sudah mempunyai perancangan bagi kuota pemain import.

"Begitu juga Zonjic dan Milunovic, kami juga tidak ada perancangan untuk mengikat pemain kebangsaan kelahiran Serbia itu bagi mengharungi cabaran Liga M musim depan.

"Sebaliknya kami sudah ada tenaga asing lain bagi memperkuatkan pasukan termasuk dua pemain kelahiran Croatia iaitu seorang di posisi serangan dan seorang lagi bagi posisi tengah bertahan untuk menggantikan penyerang musim ini, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche," katanya.

Terdahulu peminat setia TFC menjangkakan Shaakhmedov, Zonjic dan Milunovic antara pemain import yang bakal membarisi skuad Penyu musim depan.

Shaakhmedov yang juga pemain kebangsaan Uzbekistan cemerlang ketika mengemudi jentera tengah TFC pada musim 2019 dan 2020, begitu juga Zonjic yang beraksi cemerlang di posisi pertahanan sehingga membantu skuad itu mara ke pentas final Piala Malaysia pada 2018 bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

Setakat ini skuad bimbingan Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu baharu 'merantai' dua tenaga import iaitu bekas pemain Melaka United FC (MUFC) musim ini, Sony Norde dan menyambung kontrak pemain tengah, Habib Haroon.

Musim ini skuad TFC membariskan lima pemain import termasuk Sherman (Liberia), Tchetche (Ivory Coast), Habib (Bahrain), Manuel Ott (Filipina) dan Pape Diakite dari Senegal.

Namun hanya Habib berjaya menambat hati pihak pengurusan untuk disambung kontrak, Ott memilih untuk beraksi dengan pasukan lain manakala tiga lagi tidak ditawarkan lanjutan kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 7:22 PM