CHENG Hoe belum memutuskan senarai pemain Selangor FC untuk musim depan. FOTO AIZUDDIN SAAD
CHENG Hoe belum memutuskan senarai pemain Selangor FC untuk musim depan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC tidak mahu terburu-buru membeli pemain import mereka bagi memastikan hanya pemain berkualiti menyarung jersi Merah Kuning pada musim depan.

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, barisan kejurulatihan bersama pengurusan pasukan belum lagi memutuskan untuk membawa masuk pemain import baharu walaupun terdapat khabar angin mengatakan terdapat beberapa awang import skuad Gergasi Merah digugurkan.

Beliau berkata, ketika ini barisan kejurulatihan dalam usaha merangka strategi lebih berkesan termasuk mengenalpasti kelemahan pasukan untuk diperbaiki sebagai persediaan mengharungi musim 2023.

"Kami belum lagi memutuskan senarai pemain baharu untuk diserapkan dalam Selangor pada musim depan kerana banyak kerja lagi perlu dilakukan ketika ini dalam usaha menguatkan pasukan.

"Pada musim depan kami berharap tampil lebih meyakinkan dan mampu meraih kejayaan positif berbanding 2022," katanya.

Terdahulu, terdapat khabar angin enam pemain Selangor membabitkan lima pemain import iaitu Caion, Hyuri (Brazil), Baha'a Abdulrahman, Yazan Al-Arab (Jordan), Safuwan Baharudin (Singapura) dan penyerang tempatan, Shahrel Fikri meninggalkan kelab itu.

Selain itu, dikhabarkan tonggak Negeri Sembilan FC, Ahad Khuzaimi Piee dan pemain lincah Terengganu FC, Faisal Halim bersetuju untuk menyertai skuad Selangor untuk musim 2023.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan Selangor FC akan tampil dengan jiwa lebih 'muda' pada musim depan dengan menurun lebih ramai pemain berusia bawah 23 tahun, Cheng Hoe berkata, situasi terbabit sudah mula dilakukan pada musim ini dengan beberapa 'ubi muda' beraksi bersama skuad senior.

Katanya, pihaknya sentiasa memberi peluang dan ruang kepada pemain muda yang mempamerkan corak permainan berkualiti untuk beraksi bersama skuad senior.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 7:37 PM