REAKSI Messi selepas tamat aksi menentang Australia.
REAKSI Messi selepas tamat aksi menentang Australia.
Agensi

Al Rayyan, Qatar: Lionel Messi berkata, dia tidak akan meraikan pencapaian peribadinya yang tampil perlawanan profesional ke-1000 ketika membantu Argentina menewaskan Australia 2-1 pada saingan 16 terakhir.

Dia sebaliknya mengakui berasa lega apabila berjaya mengatasi cabaran fizikal hanya selepas 48 jam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Messi, 35, meledak gol pertama Argentina menerusi rembatan leret pada babak pertama ketika menentang Socceroos manakala Julian Alvarez menggandakan jaringan pada babak kedua sebelum Craig Goodwin mendapatkan gol buat Australia.

Perlawanan itu hanya dua hari selepas mereka menewaskan Poland pada aksi terakhir untuk mengesahkan tempat ke saingan kalah mati.

Messi sekali lagi menyinar dan dipilih Pemain Terbaik Perlawanan. Walaupun mencipta satu lagi kejayaan peribadi dan mengatasi rekod lapan jaringan milik Diego Maradona di Piala Dunia, Messi enggan terlalu meraikannya.

Sebaliknya dia lega apabila berjaya mengharungi ujian fizikal dalam masa singkat selepas berakhir perlawanan sebelum ini.

"Saya sangat gembira mengambil langkah dan objektif seterusnya," kata Messi.

"Ia aksi sengit dan sukar. Kami sudah jangkakannya. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk rehat. Kami tahu ia akan menjadi aksi fizikal dan mereka sangat kuat."

Ketika ditanya TV Argentina, sama ada ada dia akan meraikan penampilan ke-1000, Messi menjawab: "Tidak, ia perlawanan sukar. Kami tiada masa rehat dan kami perlu perlu pulihkan tenaga kerana perlawanan ini sangat fizikal."

"Ketika kami tahu perlu bermain lagi dalam masa tiga hari, kami anggap ia gila tetapi pada masa sama, kami mahu terus berada di sini demi peminat dan negara."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 8:39 AM