PEMAIN Jerman kecewa selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar. FOTO AP
PEMAIN Jerman kecewa selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar. FOTO AP
Reuters

Al Khor: Juara empat kali, Jerman tersingkir di Piala a Dunia walaupun mencatat kemenangan 4-2 ke atas Costa Rica dalam aksi terakhir mereka dalam Kumpulan E, menyaksikan mereka gagal melepasi halangan pertama buat kali kedua berturut-turut.

Mereka berada di tangga ketiga kumpulan berkenaan susulan kemenangan 2-1 Jepun ke atas Sepanyol.

Costa Rica meletakkan lima pemain pertahanan namun Jerman masih berjaya mencari jalan untuk mendapatkan gol seawal minit ke-10 selepas hantaran lintang David Raum ditanduk masuk Serge Gnabry.

Selepas mengetahui Jepun mendahului Sepanyol dalam satu lagi aksi kumpulan, Jerman sedikit alpa sehingga membenarkan Costa Rica meledak dua gol menerusi Yeltsin Tejeda dan Juan Pablo Vargas.

Bagaimanapun, Kai Havertz meledak dua gol selepas dimasukkan dari bangku simpanan untuk mengesahkan tiga mata buat Jerman sebelum Niclas Fuellkrug menambah gol keempat buat Jerman.

Namun keputusan akhir menyaksikan Jepun menamatkan aksi peringkat kumpulan selaku juara kumpulan sementara Sepanyol di tangga kedua.

Jerman tiba di Qatar bertekad untuk memulihkan reputasi mereka yang tercalar berikutan tersingkir daripada peringkat kumpulan pada 2018.

Sebaliknya mereka menduduki tempat ketiga dalam kumpulan, sama empat mata dengan Sepanyol tetapi ketinggalan dengan perbezaan gol dan akan pulang awal sekali lagi.

Jepun muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul enam mata dan akan berdepan Croatia dalam saingan 16 terbaik, manakala Sepanyol menentang Maghribi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 7:29 AM