SUAREZ (kanan) bersalaman dengan jurulatih Jerman, Hansi Flick sebelum memulakan aksi. FOTO Reuters.
SUAREZ (kanan) bersalaman dengan jurulatih Jerman, Hansi Flick sebelum memulakan aksi. FOTO Reuters.
Reuters

Al Khor: Jurulatih Costa Rica, Luis Fernando Suarez bangga dengan prestasi pasukannya di Piala Dunia Qatar walaupun mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

Suarez berkata, beliau berbangga dengan pretasi dipamerkan anak didiknya sepanjang kejohanan berlangsung.

Costa Rica ditunjuk jalan keluar selepas tewas 2-4 di tangan Jerman pada aksi terakhir Kumpulan E, yang meletakkan mereka di kedudukan tercorot dengan tiga mata selepas dibelasah 0-7 oleh Sepanyol dan menewaskan Jepun 1-0.

Keputusan itu secara tidak langsung menyaksikan penyingkiran secara berturut-turut mereka di peringkat kumpulan, kedudukan sama seperti diraih mereka di Russia pada 2018.

"Pada Piala Dunia kali ini, kami menunjukkan di mana kemampuan sebenar Costa Rica. Saya sangat tenang yang kami boleh meninggalkan kejohanan dengan rasa bangga.

"Saya sangat berbangga dengan skuad ini, mereka sangat istimewa lebih lagi berbanding sebelum ini.

"Saya meninggalkan saingan ini dengan rasa sedih, bukan kerana kami kalah. Sesuatu yang sukar untuk mendapat pengalaman ini sebagai seorang jurulatih, apatah lagi dalam Piala Dunia.

"Namun inilah kami. Kami bermain dengan cara sendiri ketika menentang Jepun dan perlawanan hari ini. Apa yang paling penting, masih banyak ruang penambahbaikan. Dalam tempoh empat tahun akan datang, ada perkara yang perlu diubah tetapi kami perlu membina semula apa yang sudah dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Pengendali dari Colombia itu turut berkata, pasukannya mempunyai ramai pemain muda yang mempunyai masa depan cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:46 AM