DECLAN Rice (tengah) pada sesi latihan England di Stadium Al Wakrah SC. FOTO Reuters
DECLAN Rice (tengah) pada sesi latihan England di Stadium Al Wakrah SC. FOTO Reuters
AFP

Doha: Declan Rice percaya England harus digeruni oleh pesaing mereka di Piala Dunia ketika The Three Lions sedang melakukan persiapan untuk menentang Senegal pada peringkat 16 terakhir, Isnin ini.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu menewaskan Wales 3-0, semalam untuk menjuarai saingan peringkat Kumpulan B tanpa tewas sekali gus mengukuhkan status mereka selaku salah satu pencabar utama untuk gelaran di Qatar.

Ujian seterusnya England adalah menentang Senegal di Stadium Al Bayt di mana kemenangan ke atas juara Piala Negara-Negara Afrika itu akan memungkinkan mereka bertemu juara dunia, Perancis di suku akhir.

Selepas mengharungi peringkat kumpulan bertemu Iran, Amerika Syarikat dan Wales, Rice menegaskan England berhak menerima penghormatan walaupun daripada pasukan terbaik di Piala Dunia.

"Ya, pasti. Negara lain akan melihat kualiti kita dan tidak ada sebab mengapa kita tidak digeruni.

"Terpulang kepada barisan penyerang berbakat yang ada, kami mempunyai pemain bertaraf dunia. Kami mempunyai pemain yang telah memenangi trofi utama.

"Ia terpulang kepada kami untuk membuktikannya. Perancis sudah melakukannya. Kami bukan berada di sini hanya untuk layak ke pusingan 16 terakhir, kami mahu melangkah sejauh mungkin," katanya.

Rice percaya faktor utama keyakinan England di Qatar ialah bilangan pemain dalam skuad itu yang mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

Pasukan Southgate dibarisi dengan pemenang kejuaraan Liga Perdana dan pemain dengan pengalaman luas beraksi di Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:55 PM