FANDI sedang menelitif beberapa pemain tempatan dan import. FOTO IHSAN SRI PAHANG FC
FANDI sedang menelitif beberapa pemain tempatan dan import. FOTO IHSAN SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) masih berteka-teki barisan pemain tempatan dan import baharu yang akan menyarung jersi kelab itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata setakat ini, beliau tidak boleh mengulas lanjut berhubung senarai pemain.

"Memang ada pemain tempatan dan import baharu akan menandatangani kontrak dalam tempoh terdekat ini tetapi saya tidak boleh mengumumkannya setakat ini. Apa yang boleh saya katakan Sri Pahang akan memulakan latihan pertama pada minggu ketiga bulan ini," katanya.

Ditanya misi kelab itu musim baharu ini, Mohammed Suffian berkata, SPFC mahu skuad itu tampil lebih padu selepas menamatkan kedudukan kelima Liga Super musim lalu.

Katanya, ketika ini, Fandi Ahmad selaku ketua jurulatih sedang mengenal pasti beberapa pemain untuk disenaraikan dalam skuad Tok Gajah.

"Setakat ini, barisan kejurulatihan yang diketuai Fandi sedang meneliti beberapa pemain tempatan dan import untuk dibawa masuk ke Sri Pahang. Fokus utama di semua posisi iaitu serangan, tengah dan pertahanan.

"Kita harap prestasi lebih mantap dapat dipersembahkan dengan gandingan pemain lama dan baharu, sekali gus mencapai kejayaan lebih baik berbanding musim lalu," katanya.

Musim lalu, skuad Tok Gajah menamatkan saingan di kedudukan kelima daripada 14 pasukan yang beraksi di Liga Super, lebih baik berbanding musim 2022 di kedudukan ketujuh daripada 12 pasukan.

Berdasarkan pencapaian dalam saingan Piala Malaysia pula, Sri Pahang mara ke suku akhir manakala Piala FA pula mara ke pusingan 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 4:33 PM