RASHFORD (kiri) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
RASHFORD (kiri) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
AFP

Al-Rayyan: Marcus Rashford percaya England mampu mempamer aksi lebih baik di Piala Dunia selepas mara ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Wales, hari ini.

Rashford menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua untuk berkongsi kedudukan bersama tiga pemain lain yang sudah menjaringkan tiga gol dalam perebutan memenangi Kasut Emas.

Phil Foden turut menjaringkan gol pada perlawanan hari ini untuk memastikan Three Lions bertemu Senegal pada pusingan kedua, 5 Disember ini.

"Inilah sebabnya saya bermain bola sepak, merasai detik terbesar dan saat terbaik.

"Saya sangat gembira kerana kami akan mara ke pusingan seterusnya. Saya mempunyai cita-cita yang tinggi bersama pasukan ini dan berasakan kami boleh bermain lebih baik daripada yang kami tunjukkan hari ini," kata Rashford kepada BBC.

England adalah pasukan paling banyak meledak jaringan setakat ini iaitu sembilan gol walaupun seri 0-0 pada perlawanan kumpulan kedua menentang Amerika Syarikat (AS).

Rashford adalah salah satu daripada empat pertukaran pemain dilakukan oleh Gareth Southgate berbanding ketika bertemu AS.

"Kami agak kecewa selepas perlawanan terakhir menentang Amerika Syarikat. Saya rasa kami boleh bermain dengan lebih baik.

"Satu-satunya cara untuk bangkit adalah dengan menunjukkan prestasi yang terbaik pada perlawanan seterusnya dan kami berjaya melakukannya.

"Pada separuh masa pertama kami bertahan dengan cemerlang, tidak memberi lawan peluang dan memanfaatkan peluang yang ada," kata Rashford.

Rashford tidak beraksi bersama England sejak final Euro 2020 sebelum tersenarai dalam skuad Southgate untuk saingan di Qatar selepas prestasinya merosot secara drastik sepanjang bersama Manchester United.

Bagaimanapun, lapan golnya untuk United musim ini sudah cukup meyakinkan bos England itu bahawa dia layak dipanggil menyertai pasukan kebangsaan.

"Ia bagus dan dia berlatih dengan sangat baik. Sejujurnya dia benar-benar mengagumkan sejak kembali bersama kami," kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:40 AM