AFP

Manchester, United Kingdom: Erik ten Hag berkata Marcus Rashford membantu Manchester United pulih daripada permulaan 'teruk' apabila penyerang England itu menjaringkan dua gol yang mencetus inspirasi kemenangan 3-0 ke atas Leicester ketika berita pembelian kelab Old Trafford itu semakin hangat.

Pemilik United, keluarga Glazer sedang mempertimbangkan tawaran daripada Pengerusi salah satu bank terbesar Qatar Sheikh Jassim Hamad Al Thani dan jutawan British Jim Ratcliffe.

Tawaran masih diteruskan ketika laporan mengatakan United mungkin berada di bawah pemilikan baharu dalam tempoh enam minggu tetapi pasukan Ten Hag langsung tidak terjejas dan mengekalkan fokus mereka di padang.

Rashford menjadi kunci kepada prestasi mengagumkan United pada musim pertama Ten Hag dan penyerang England itu terbukti terlalu panas untuk Leicester di Old Trafford.

"Leicester bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan kami pula bermain dengan teruk. Kami benar-benar teruk, tidak berdisiplin. Hanya dengan David de Gea mengekalkan rekod bersih kami," kata Ten Hag.

"Kami membaiki beberapa perkara dan separuh masa kedua baru ia kelihatan hebat. Itulah cara saya mahu melihat pasukan kami bermain."

Rashford menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan untuk United musim ini, jumlah gol tertinggi yang pernah dilakukannya dalam satu kempen.

16 jaringan itu dilakukan dari 17 penampilannya sejak dia kembali dari Piala Dunia Disember lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu juga pemain United pertama yang menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan liga di tempat sendiri berturut-turut sejak Wayne Rooney pada 2010.

Rashford mengharungi tempoh sukar sebelum kedatangan Ten Hag musim lalu, sehingga timbul spekulasi yang penyerang itu mungkin akan meninggalkan Old Trafford.

Kini Rashford adalah pemain paling berpengaruh di United selepas dia kembali mendapatkan sentuhan yang menjadikannya pemain remaja sensasi sebelum ini.

United kini berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, hanya lima mata di belakang pendahulu, Arsenal, selepas kemenangan ketiga dalam empat perlawanan terakhir.

Ten Hag bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk mengejar Arsenal, yang bermain kurang satu perlawanan berbanding United.

"Kami tidak memikirkan tentang perebutan kejuaraan. Kami hanya memikirkan tentang perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 8:13 AM