PRESTASI terbaik pemain tengah, Kevin De Bruyne sekali lagi menjadi sandaran penting Belgium. FOTO AFP
PRESTASI terbaik pemain tengah, Kevin De Bruyne sekali lagi menjadi sandaran penting Belgium. FOTO AFP
Reuters

Doha: Jurulatih Belgium, Roberto Martinez mengharapkan prestasi lebih baik daripada pasukannya apabila menentang Maghribi pada perlawanan kedua Kumpulan F di Stadium Al Thumama, Ahad ini, dengan kemenangan akan mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Martinez menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Kanada, Rabu lalu sebagai 'prestasi teknikal terburuk' sepanjang enam tahun membimbing pasukan itu, tetapi percaya anak buahnya akan terus meningkat.

"Kami perlu membesar dengan perlawanan seperti ini. Kejohanan ini akan membuatkan anda membangun dan berkembang apabila ia semakin jauh," katanya.

"Jika anda mengharunginya dengan memenangi perlawanan, ia akan menjadi kelebihan menakjubkan.

"Kami gagal menang (menentang Kanada) dengan bakat semula jadi dan kualiti dengan bola, tetapi anda tidak menang di Piala Dunia jika tidak melakukan satu lagi sudut dalam perlawanan iaitu bertahan dengan baik."

Martinez belum membuat keputusan sama ada penyerang, Romelu Lukaku, yang kehilangannya amat dirasai ketika menentang Kanada, mampu diturunkan kali ini.

Penyerang sasa itu kembali menjalani latihan penuh selepas hanya bermain dua perlawanan dengan kelabnya sejak Ogos lalu kerana kecederaan paha dan hamstring.

"Romelu sudah berlatih bersama rakan sepasukan lain," kata Martinez.

"Kini, kami akan melihat sejauh mana reaksi tubuhnya. Saya tidak fikir dia bersedia untuk diturunkan menentang Maghribi, tetapi kami akan mendapat kepastian dalam dua hari lagi."

Keutamaan kini adalah memastikan Lukaku dalam bersama pasukan sekiranya Belgium mara ke pusingan kalah mati dan mereka harus berhati-hati tidak mahu menurunkannya terlalu cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 8:56 PM