BELGIUM harus mengubah corak permainan tanpa Lukaku. FOTO Agensi
BELGIUM harus mengubah corak permainan tanpa Lukaku. FOTO Agensi
Reuters

Doha: 'Generasi Emas' Belgium yang semakin berusia akan memulakan tugasan di Piala Dunia terakhir mereka dengan menentang Kanada Khamis ini namun tidak dapat menurunkan Romelu Lukaku yang menjadi kunci kejayaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Aksi Kumpulan F di Stadium Ahmad bin Ali di Al Rayyan itu dijangka mencabar buat pasukan bimbingan Roberto Martinez kerana berdepan lawan yang bersedia melakukan kejutan selepas 36 tahun tahun tidak beraksi di Piala Dunia.

Lukaku yang akan terlepas sekurang-kurangnya dua aksi awal, bukan satu-satunya bermain berpotensi tidak dapat beraksi.

Pertahanan kanan, Thomas Meunier yang berlatih bersendirian semalam dilihat semakin sembuh selepas mengalami patah tulang pipi minggu lalu namun ketiadaan penyerang berbisa itu satu kehilangan besar buat mereka.

Martinez mengakui tanpa Lukaku dalam pasukannya, yang menduduki ranking kedua dunia, beliau perlu mengubah corak permainan tatkala pengganti Lukaku Michy Batshuayi gagal mempamerkan aksi hebat dalam kekalahan 1-2 kepada Mesir pada aksi persahabatan Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Martinez masih belum mahu menekan butang kecemasan.

"Kumpulan ini bersama selama enam tahun, bukannya secara tiba-tiba.

"Itulah sebabnya kita harus melihat perlawanan (menentang Mesir) sebagai isyarat untuk bangkit semula. Ia juga berguna dalam memberikan beberapa pemain minit yang sangat diperlukan.

"Sekarang ia berkisar untuk membuatkan semua pemain berada dalam keadaan bersedia. Kami tidak boleh mengharapkan untuk menang di Piala Dunia jika kami tidak berada pada tahap terbaik kami," kata Martinez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 9:26 PM