KECEDERAAN hamstring hantui Lukaku di Qatar. FOTO AFP
KECEDERAAN hamstring hantui Lukaku di Qatar. FOTO AFP
AFP

Doha: Romelu Lukaku tidak akan beraksi pada dua aksi terawal Belgium dalam Kumpulan F dan dijangka diturunkan ketika perlawanan terakhir bertemu Croatia.

Penyerang itu tidak menyertai latihan pertama Red Devils sejak mereka tiba di Qatar kerana dia sedang menjalani pemulihan kecederaan hamstring.

Lukaku yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Belgium dengan 68 gol daripada 102 penampilan tetap disenaraikan dalam skuad kali ini walaupun jurulatih, Roberto Martinez mengakui anak buahnya belum cergas sepenuhnya.

Penyerang berusia 29 tahun itu berdepan saat sukar selama 18 bulan sebelum kembali ke Inter Milan secara pinjaman selepas aksi buruk bersama Chelsea.

Bagaimanapun, dia hanya beraksi dua kali bersama Inter sejak Ogos lalu apabila mengalami kecederaan ketika tumpas 1-3 kepada Lazio.

Dia kembali beraksi dengan bergaya bulan lalu, menjaringkan gol ketika menang 4-0 ke atas Viktoria Plzen untuk memastikan Inter mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara namun dia kemudiannya mengalami kecederaan hamstring sekali lagi beberapa hari kemudian.

Belgium akan memulakan kempen Piala Dunia mereka menentang Kanada Khamis ini dan berdepan Maghribi, seterusnya naib juara 2018, Croatia pada awal bulan depan.

Martinez perlu membuat keputusan siapa bakal menggantikan Lukaku di bahagian depan.

Penyerang Fenerbahce, Michy Batshuayi disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika aksi pemanas badan yang menyaksikan mereka tumpas 1-2 kepada Mesir.

Batshuayi kemudiannya digantikan dengan penyerang Lens, Lois Openda, yang menjaringkan gol saguhati pada minit ke-76 di Kuwait City

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 9:18 PM