KANE (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan menentang AS. FOTO Reuters
KANE (tengah) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan menentang AS. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Kapten England, Harry Kane disahkan cergas untuk diturunkan menentang Amerika Syarikat (AS) pada aksi Kumpulan B di Al Khor, awal pagi Sabtu ini, selepas bebas daripada kesakitan buku lali, kata pengurus England, Gareth Southgate.

Kane mengalami kecederaan sebelum rehat ketika England menang 6-2 ke atas Iran pada perlawanan pembukaan Isnin lalu dan digantikan pada hujung babak kedua.

Dia menjalani ujian imbasan, semalam, tetapi Southgate berkata, kecederaan penyerang itu tidak serius dan cergas untuk diturunkan menentang AS.

"Dia bagus. Dia lebih bekerja secara individu, hari ini, tetapi akan kembali bersama pasukan esok dan semua bagus untuk perlawanan nanti," kata Southgate dalam temu bual dengan ITV.

"Kami mengasingkannya seketika untuk pemantauan. Saya fikir, ada masanya ketika menangani sesuatu perkara, amat penting untuk mengetahui apa yang berlaku dan semuanya bagus.

"Ia bukan buku lali, tetapi lebih kepada kaki. Ia bentesan buruk, tetapi saya fikir hanya sekali dan nasib baik, kami tiada apa-apa."

Kane menjaringkan 51 gol untuk England dan hanya perlukan dua lagi gol untuk menyamai jaringan terbanyak sepanjang zaman Wayne Rooney.

Jadi, sekiranya Kane tidak dapat diturunkan, sudah pasti ia tamparan hebat buat England di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 8:29 PM