LUKAKU (kiri) dikekang dua pemain Arab Saudi pada aksi persahabatan di Brussels. - Foto REUTERS
LUKAKU (kiri) dikekang dua pemain Arab Saudi pada aksi persahabatan di Brussels. - Foto REUTERS
Reuters

BRUSSELS: Romelu Lukaku menjaringkan dua gol ketika membantu Belgium membelasah Arab Saudi 4-0 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi sekaligus membolehkan jurulatih, Roberto Martinez menilai kemampuan barisan kesebelasan skuad Piala Dunia.

Belgium menguasai keseluruhan permainan dengan membolosi gawang lawan dua kali pada setiap babak perlawanan.

Penyerang Manchester United, Lukaku menjaringkan gol pada minit ke-13 selepas mendapat hantaran daripada Kevin De Bruyne yang sebelum itu merampas bola daripada kawalan pemain Arab Saudi.

Lukaku sekali lagi menyudahkan dengan cemerlang hasil gerakan Eden Hazard pada minit ke-39 dengan menolak bola ke sebelah kanan gawang lawan untuk kedudukan 2-0.

Belgium mengendurkan asakan pada babak kedua permainan namun Arab Saudi tetap gagal mengambil kesempatan. Belgium kemudiannya menjaringkan gol ketiga melalui gerakan solo menarik daripada pemain gantian Michy Batshuayi dari jarak dekat pada minit ke-76. Dua minit kemudian kelemahan benteng lawan sekali lagi dihukum dengan De Bruyne menjaringkan gol selepas melakukan hantaran satu dua dengan Lukaku.

Jurulatih Belgium, Martinez berkata, perlawanan itu memberinya gambaran awal kemampuan kesebelasan pemainnya sebelum pemilihan terakhir pada Mei depan dengan pemain tengah Roma, Radja Nainggolan dijangka tersenarai dalam kesebelasan utama.

Belgium membuka tirai Piala Dunia dengan menentang Panama pada 18 Jun dalam Kumpulan G. Turut berada dalam kumpulan itu ialah England dan Tunisia.

Kemampuan Arab Saudi tidak boleh diperkecilkan apabila mempamerkan tentangan terutamanya pada separuh masa pertama apabila Fahad Al-Muwallad kerap mencemaskan gawang tuan rumah yang dikawal Simon Mignolet dan hampir mendapat penalti pada separuh masa kedua. Bagaimanapun kelemahan benteng perlu diatasi dan ketepatan hantaran perlu dibaiki sebelum menentang Russia dalam perlawanan pertama Piala Dunia pada 14 Jun. Selain Arab Saudi, turut berada lama Kumpulan A ialah Uruguay dan Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 7:33 AM