MATHEUS Alves difahamkan antara pemain import yang tidak dikekalkan bersama Negeri Sembilan FC musim depan. FOTO NSFC
MATHEUS Alves difahamkan antara pemain import yang tidak dikekalkan bersama Negeri Sembilan FC musim depan. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kehilangan dua bintang utama, Ahmad Khuzaimi Piee dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tetap dirasakan buat pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan, dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim 2023.

Baginya, penghijrahan kedua-dua pemain berpengalaman dan berprestasi tinggi itu sukar dicari ganti kerana mereka berdua kini berada pada tahap prestasi terbaik selain telah memberikan sumbangan begitu bermakna kepada Negeri Sembilan musim 2022.

"Kualiti Ahmad Syihan dan Khuzaimi berpandukan kepada prestasi mereka musim ini, sememangnya sukar dinafikan, malah Syihan berada pada kedudukan selaku penjaga gol nombor satu negara ketika ini.

"Ketiadaan mereka berdua dalam pasukan bagi menghadapi kempen Liga M musim depan sememangnya dirasakan, tapi kita harus terima hakikat dengan perubahan yang berlaku bagi musim baharu.

"Justeru itu, kita perlu membuat persiapan rapi tanpa pemain ini dengan cuba mendapatkan pengganti yang bersesuaian walaupun mungkin tidak setanding dengan mereka," katanya di sini, hari ini.

Khuzaimi dilaporkan secara rasmi telah menyertai Selangor FC sementara Ahmad Syihan masih belum mengumumkan secara rasmi destinasi yang akan ditujuinya pada musim 2023, namun dikaitkan dengan pasukan Johor Darul Ta`zim (JDT).

Mengulas lanjut, Devan yang juga pengurus pasukan berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan penjaga gol yang tidak jauh kualitinya dengan Ahmad Syihan dan pengganti Khuzaimi.

"Kami masih dalam proses mencari pemain yang setanding dengan prestasi Syihan dan Khuzaimi," katanya.

Beliau bagaimanapun tetap optimis kekuatan skuad Hobin Jang Hobin tidak akan terjejas sepenuhnya bagi memberikan saingan berkualiti pada kempen Liga M 2023 nanti.

Menurutnya, pihaknya sedang dalam proses membentuk pasukan terbaik bagi musim akan datang dengan tumpuan diberikan bagi membina kekuatan yang seimbang dalam pasukan itu.

"Dalam pembentukan pasukan musim baharu ini, kita telah mengambil kira semua faktor kelemahan pasukan musim ini supaya kita dapat membuat penambahbaikan.

"Untuk itu, sekitar 60 peratus pemain tempatan musim ini dikekalkan manakala seramai 12 pemain baharu tempatan dibawa masuk bagi menggantikan pemain yang tidak lagi bersama pasukan.

"Setakat ini hanya seorang pemain import dikekalkan," katanya yang enggan mengesahkan nama pemain terbabit namun difahamkan ia adalah pertahanan kental, Herold Goulon.

Pada musim 2022, Negeri Sembilan menggunakan lima pemain import selain Goulon, empat lagi ialah Omid Nazari, Gustavo dos Santos, Matheus Alves dan Yaser Pinto.

Skuad berkenaan mendapat perhatian banyak pihak apabila meraih pencapaian luar biasa walaupun berstatus pendatang baharu Liga Super dengan menamatkan saingan liga di tangga keempat dan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 4:25 PM