AKSI Son (kanan) ketika bertemu Chelsea pada saingan Piala Liga, Khamis lalu. FOTO EPA
AKSI Son (kanan) ketika bertemu Chelsea pada saingan Piala Liga, Khamis lalu. FOTO EPA
AFP

London: Tottenham tidak dapat menggunakan khidmat penyerang, Son Heung-min untuk beberapa perlawanan penting kerana kecederaan otot, dedah pengurus Antonio Conte.

Bintang Korea Selatan itu digantikan oleh pengendali dari Itali itu pada hujung perlawanan ketika Tottenham tewas 0-2 kepada Chelsea di separuh akhir pertama Piala Liga, Khamis lalu.

Conte berkata, beliau tidak menyedari kecederaan berkenaan pada ketika itu tetapi kini Son dijangka terlepas beberapa perlawanan penting sehingga selepas tempoh rehat antarabangsa.

Ia sekali gus menyaksikannya tidak dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga serta aksi Liga Perdana menentang Arsenal, Leicester dan Chelsea dalam usaha Spurs untuk menduduki kelompok empat terbaik.

Son yang muncul penjaring terbanyak kelab di Liga Perdana musim ini, juga mungkin terlepas beraksi bersama Korea Selatan untuk kempen kelayakan Piala Dunia bertemu Lebanon dan Syria.

"Ia situasi yang agak pelik kerana ketika menentang Chelsea saya melakukan dua pertukaran iaitu Lucas Moura dan kemudian Son. Tapi ia bukanlah disebabkan kecederaan sebaliknya hanya mahu merehatkan mereka.

"Kemudian sehari selepas itu, dia (Son) berasa sakit di otot kakinya. Dia sudah menjalani ujian imbasan dan kini kami perlu membuat penilaian yang betul daripada doktor.

"Kemungkinan besar dia tidak akan bersama kami di sesi latihan sehingga selepas tempoh rehat antarabangsa," katanya.

Conte memberi bayangan Harry Kane juga mungkin akan direhatkan untuk aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Morecambe, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 9:52 AM