Ivan Mamut kini berada dalam radar TFC. -FOTO Ihsan FCSB
Ivan Mamut kini berada dalam radar TFC. -FOTO Ihsan FCSB
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut kini berada dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

Menurut sumber, pemain berusia 25 tahun itu yang beraksi bersama kelab Football Club SB (FCSB) dalam Liga Romania itu bakal diperkenalkan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd pada awal tahun depan.

Pemain berketinggian 1.92 meter (m) itu bakal digandingkan dengan penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn yang sudah menandatangani kontrak selama dua musim bersama skuad Penyu itu.

"Pemain kelahiran Croatia itu (Mamut) berada dalam perancangan bagi memantapkan lagi jentera serangan skuad itu bagi mengharungi saingan Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

"Pemain itu menjadi pilihan di posisi serangan dan bakal bergandingan dengan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak yang menandatangani kontrak bersama TFC pada pertengahan bulan ini.

"Jika tiada sebarang masalah, pemain itu dijangka bakal diperkenalkan TFC Sdn Bhd sebagai pemain import keempat skuad TFC pada awal musim depan," jelas sumber itu.

Musim depan, gergasi Pantai Timur itu dibimbing jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner yang mengambil alih jawatan itu daripada Nafuzi Zain yang menolak tawaran lanjutan kontrak bersama pasukan itu musim depan.

Berdasarkan rekod, Mamut memulakan karier di peringkat senior dengan menyarung jersi kelab Hajduk Split dalam Liga Croatia pada 2015 sebelum dipinjamkan kepada kelab Hrvace juga kelab di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 12:47 PM